Pandu uji kereta: Polis rekod keterangan Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis telah merekodkan keterangan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, selain Muhammad Sanusi, pihaknya juga telah merekodkan keterangan empat individu lain untuk membantu siasatan.

"Setakat ini lima orang telah direkodkan keterangan termasuk Menteri Besar (Muhammad Sanusi) dan polis masih dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan kes itu.

"Sebaik sahaja kertas siasatan siap, kami akan segera merujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Shafee berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dua hari lepas, komuniti media sosial kecoh susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta, sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh dan pusat jualan serta pameran kenderaan antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: MB Kedah tidak pandu uji, beli kereta ketika 'total lockdown'

Polis siasat dakwaan MB Kedah pandu uji kereta ketika PKP

Artikel Berkaitan: