Lekuk Covid-19 mula landai, rakyat disaran terus patuh SOP

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh tepat apabila lekuk graf jangkitan Covid-19 mula melandai dalam masa beberapa hari sejak sekatan dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia sekali gus menafikan segala tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan terperinci.

"Realitinya, kita telah mula melihat hasil positif daripada tindakan kerajaan.

“Walaupun ada pihak yang masih merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data itu menunjukkan kita berada di jalan yang betul dan boleh berjaya jika terus mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Biarlah mereka terus merungut kerana untuk mencari perhatian. Buat apa sekalipun, 'kluster merungut' ini akan sentiasa mencari jalan untuk merungut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut meminta kerjasama semua pihak supaya terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Tidak kira rakyat biasa mahupun mereka yang berpangkat, masing-masing perlu bersungguh-sungguh mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kerajaan sedang berusaha menguatkuasakan SOP. Kita perlu menyokong untuk kesihatan sendiri dan keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 di Malaysia turun di bawah paras 1.0.

Kadar tersebut semakin menurun pada minggu lalu menunjukkan kadar penularan berkurangan.

Sementara itu, KKM pada Isnin pula turut memaklumkan kes harian Covid-19 kembali menurun apabila mencatatkan kes sebanyak 5,271 berbanding 6,241 kes pada Ahad.