X

Kindly register in order to view this article
!

Logo PKR: Strategi PH tawan Putrajaya

Aizuddin Ariffin
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah antara strategi untuk Pakatan Harapan (PH) menawan semula Putrajaya bukan mengundang kepada perpecahan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional, Aizuddin Ariffin berkata, sebarang cadangan diyakini dapat memenangkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus diberi ruang untuk dianalisa sebaik mungkin.

Menurutnya, ia juga bagi mengukuhkan kesepakatan antara parti- parti yang menaungi PH.

“Tidak timbul isu Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir cuba mengkhianati penyokong PH dan komponennya.

"Dakwaan cadangan diutarakan beliau akan membunuh kesepakatan dan mengundang perpecahan adalah andaian yang terpesong sekadar spekulasi semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Aizuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How yang menolak cadangan AMK untuk menggunakan logo PKR bagi mewakili PH pada PRU akan datang sebaliknya memilih menggunakan logo PH.

Cadangan penggunaan logo PKR pada PRU15 diusulkan Ketua AMK Nasional, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapan dasar persidangan tahunan AMK Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Aizuddin yang juga Timbalan Ketua AMK Kedah menyifatkan cadangan Akmal Nasrullah itu bersifat emperikal iaitu berdasarkan pemerhatian dan kajian.

“Logo PKR dikenali umum, sama ada penduduk di bandar atau kawasan luar bandar. Lambang PH pula belum serasi atau kurang dikenali segelintir rakyat. Oleh itu, cadangan dikemukakan supaya gunakan logo PKR ada asasnya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap Howard Lee tidak bersifat prejudis terhadap cadangan dikemukakan dan bersikap lebih terbuka.

Dalam perkembangan berkaitan, Aizuddin berkata, Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan 2020 yang melabuhkan tirai pada Sabtu merupakan kongres terbaik pernah diadakan.

“Walaupun kongres kali ini diadakan lebih singkat berbanding kongres-kongres terdahulu dan dilaksanakan secara webinar, segala tumpuan dapat difokuskan kepada isu- isu yang mendasar sehingga isu antarabangsa tanpa perlu melayan anasir-anasir khianat,” katanya.

Menurutnya, AMK juga dilihat mampu menggarap sinergi dan bersedia dalam mengetengahkan isu- isu rakyat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!