'Total lockdown' tidak memadai: Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly pada sidang media selepas melawat program saringan Covid-19 percuma di Dewan Kampung Bukit Kuching Tengah Jeram di sini.
Dr Dzulkefly pada sidang media selepas melawat program saringan Covid-19 percuma di Dewan Kampung Bukit Kuching Tengah Jeram di sini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh selama 14 hari bermula 1 Jun lalu tidak memadai dan mungkin akan disambung berikutan ramai individu yang masih belum dikenal pasti positif Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah kerajaan melaksanakan sekatan itu hanya bersifat pasif yang sukar memutuskan rantaian Covid-19 dengan kadar segera.

"Lockdown nampak macam aktif (mengurangkan kes Covid-19) tetapi sebenarnya ia bersifat pasif sahaja kerana kita hanya berkurung tetapi tiada tindakan (pengesanan saringan) dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Program Saringan Covid-19 Percuma di Dewan Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram di sini.

Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, kerajaan perlu melaksanakan pendekatan cari, uji, jejak, asing dan sokongan (FTTIS) seperti yang dituntut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melandaikan semula keluk penularan Covid-19 yang kembali melonjak sejak awal April lalu.

"Sudah seminggu 'total lockdown' dilaksanakan tetapi kita belum nampak lagi kesan kepada perebakan khususnya di Selangor.

"Sudah 3,000 individu kita telah dikesan (positif Covid-19) menerusi ujian saringan dan ini merupakan punca kepada perebakan daripada kluster kepada komuniti.

"Kita tidak takut kepada angka (individu positif), apa yang kita bimbang ialah angka kematian kerana kadar kematian di Selangor berada di nombor tujuh di seluruh negara," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, dengan mempercepatkan kaedah FTTIS sahaja mampu mengatasi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Untuk berjaya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, kita mesti melepasi dan mengatasi kelajuan transmisi virus dengan mempercepatkan FTTIS.

"InsyaALLAH, dengan cara itu, kita dapat landaikan gelombang ketiga yang semakin serius ini," katanya.