Formula selesai kemelut PSM diumum dalam masa terdekat

Reezal Merican ketika sidang media selepas melawat pusat kuarantin dan latihan para atlet di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik pada Isnin. - Foto Bernama
Reezal Merican ketika sidang media selepas melawat pusat kuarantin dan latihan para atlet di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SATU formula baharu bagi memulihkan konflik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), akan diumum dalam masa terdekat selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, ia penting terutama bagi menyatukan kembali 11 ahli gabungan persatuan berkenaan, yang mengambil tindakan keluar daripada badan induk sukan itu, selepas hilang kepercayaan kepada bekas presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletak jawatan Jumaat lepas.

“Formula penyelesaian kemelut ini demi sukan sepak takraw secara keseluruhannya, kerana sebagai menteri saya adalah penjaga kepada Akta 576 (Akta Pembangunan Sukan 1997), yang memberi kuasa untuk saya lihat pembangunan sukan. Di sini saya bukan hendak jaga persatuan sukan tetapi pembangunan sukan.

“Kalau kemelut dalaman memberi kesan dan membantutkan pembangunan sukan itu, maka saya bertanggungjawab mencari penyelesaiannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Reezal Merican yang memohon semua pihak bersabar buat masa ini berkata, proses penyelesaian berkenaan tidak boleh mengambil jalan pintas, sebaliknya perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor undang-undang, peraturan dan perlembagaan PSM sendiri.

Pada masa sama, beliau percaya, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof dapat memainkan peranan menjadi perantara dan mencari jalan lebih praktikal, bagi mengembalikan keyakinan kepada semua 11 ahli gabungan, orang ramai, Persekutuan Sepak Takraw Asia dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa.

Reezal Merican secara peribadi juga, melihat peletakan jawatan Ahmad Ismail dapat membuka lembaran baharu dalam menyelesaikan konflik PSM, selain menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang berjiwa besar.

Pada 20 Mei lepas, ASTAF menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu ekoran tindakan Ahmad sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat yang didakwa ‘menghina’ persatuan itu kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb lepas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan Majlis Sukan Negara masih berhubung dengan Singapura, bagi membantu atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, yang ketika ini berada di negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke Aarhus, Denmark untuk sesi latihan.

Beliau turut mendoakan Qabil Ambak, berjaya dalam percubaan terakhirnya meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo, Jepun bulan depan, menerusi penyertaannya dalam acara CDI (International Dressage) di Le Mans, Perancis dari 17-21 Jun ini.

Qabil Ambak dinamakan sebagai pengganti dalam acara dressage oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), selepas seorang daripada dua penunggang yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo melalui Kumpulan G kejohanan kelayakan untuk zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019, menarik diri baru-baru ini.

Dalam pada itu Reezal Merican memberitahu, kementeriannya telah menyusun semula program latihan berpusat secara kuarantin dan mewujudkan pusat kuarantin kepada atlet negara yang pulang dari luar negara di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik.

Tambahnya, hanya kumpulan atlet yang mempunyai kelangsungan program latihan dan pertandingan penting sahaja, iaitu Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, akan ditempatkan di sini yang boleh menempatkan 36 atlet dan jurulatih pada satu-satu masa. - Bernama