Aplikasi mudah alih koperasi akan dilancarkan - Angkasa

Abdul Fattah Abdullah
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperkenalkan satu aplikasi mudah alih koperasi bagi memudahkan pengguna memesan barangan menerusi aplikasi tersebut.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata aplikasi itu akan dilancarkan awal Mei ini untuk kegunaan 2,700 kedai koperasi dan koperasi sekolah di negara ini.

"Aplikasi itu masih dalam pembangunan dan apabila siap, pengguna boleh memesan barangan melalui aplikasi tersebut dan mereka mempunyai dua pilihan sama ada untuk mengambil sendiri di kedai atau barangan dihantar ke rumah.

"Selain berfungsi untuk pembelian, ia juga akan memudahkan pembekal sebagai contoh pembekal boleh mengetahui berapa banyak stok yang diperlukan di sesuatu kedai koperasi," katanya kepada pemberita selepas melawat koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari di sini, hari ini.

Koperasi sekolah juga, kata beliau, boleh menggunakan aplikasi berkenaan untuk mencapai perolehan melebihi RM1 juta yang disasarkan Angkasa menjelang 2020.

Menurutnya, apabila koperasi sekolah menggunakan aplikasi tersebut, pelajar yang menjaga koperasi akan menyedia dan menyerahkan barangan yang dipesan ibu bapa untuk diambil.

“Jadi ini adalah inisiatif yang kami sediakan untuk mencapai sasaran supaya lebih banyak koperasi sekolah menjadi koperasi jutawan daripada segi perolehan,” katanya.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia