Cuepacs gesa KPT segera lantik naib canselor lima universiti

Cuepacs
Cuepacs
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima buah universiti awam negara yang kosong sejak awal tahun.

Lima universiti awam tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti tersebut bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing.

“Kuasa untuk melantik naib canselor adalah daripada menteri dan menteri juga mempunyai kuasa untuk menamatkan pelantikan naib canselor pada bila-bila masa.

“Kebiasaannya apabila jawatan naib canselor itu dikosongkan, timbalan naib canselor yang dinamakan oleh menteri akan menjalankan tugas sebagai naib canselor untuk beberapa tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Rahman bagaimanapun menambah, pihaknya berpandangan kekosongan yang terlalu lama bagi jawatan nombor satu itu dengan hanya dipangku oleh timbalan naib canselor boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti.

“Walaupun timbalan naib canselor yang menjalankan tugas naib canselor itu individu yang berpengalaman, sudah tentu terdapat beberapa kekangan yang menghalang beliau daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

“Hal-hal kebajikan kakitangan terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan naib canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman berkata, Cuepacs melihat keperluan untuk melantik segera naib canselor yang baharu bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan mampu melaksanakan visi dan misi masing-masing.

“Cuepacs berharap menteri dapat mempertimbangkan perkara ini dengan segera.

“Dalam situasi pandemik ketika ini, sewajarnya semua jabatan dan agensi kerajaan dimantapkan agar boleh menjadi pemangkin kepada permasalahan yang melanda ketika ini,” katanya.