Kerajaan Melaka peruntuk bantuan makanan untuk belia B40

Mohd Rafiq menyampaikan telur dan ayam percuma kepada seorang penunggang motosikal di Kedai Prihatin Rakyat - Pandu Lalu Perikatan Nasional Melaka di Taman Rambai Jaya pada Isnin.
Mohd Rafiq menyampaikan telur dan ayam percuma kepada seorang penunggang motosikal di Kedai Prihatin Rakyat - Pandu Lalu Perikatan Nasional Melaka di Taman Rambai Jaya pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan kira-kira RM150,000 dalam penyediaan 3,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan belia yang terkesan akibat Covid-19.

Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, usaha yang dilakukan dengan kerjasama Melaka Youth Development Corporation (MYDC) itu bagi meringankan beban belia terutama dari golongan B40 serta yang hilang punca pendapatan.

Menurutnya, pemimpin masyarakat dan NGO di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berperanan menyalurkan maklumat serta mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan bakul makanan bernilai RM50 bagi memastikan bantuan itu sampai ke peringkat akar umbi.

"Kita telah berbincang dengan agensi kerajaan negeri iaitu MYDC untuk merangka inisiatif berbentuk bakul makanan kepada belia yang terdiri daripada B40.

"Kita akan bekerjasama dengan pimpinan masyarakat untuk pengagihan kepada belia terjejas hingga ke akar umbi walaupun bantuan itu tidak banyak namun sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ayam dan telur percuma di Kedai Prihatin Rakyat - Pandu Lalu Perikatan Nasional negeri di Taman Rambai Jaya di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Melaka, Datuk Micheal Gan Peng Lam.

Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, kedai prihatin rakyat itu sebagai salah satu inisiatif membantu peniaga ayam dan telur yang terkesan dan pembelian barangan dari kedua peniaga itu dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pemberian secara percuma.

Menurutnya, dengan pembelian lebih 2,000 ekor ayam dan 2,000 papan telur yang keseluruhan berjumlah RM50,000 dapat membantu rakyat yang terkesan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh itu selain bercadang memperluaskannya ke kawasan lain.

Artikel Berkaitan:

"Sambutan kita terima di DUN Paya Rumput begitu menggalakkan dan kita akan teruskan dengan konsep sama iaitu pandu lalu bagi mematahui prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi penjarakan sosial.

"Ini bukanlah program tapi pemberian secara pandu lalu dan telah mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka serta polis Melaka," katanya.

Lebih 1,000 buah motosikal dan kenderaan beratur panjang sejak jam 11.30 pagi untuk mendapatkan telur dan ayam percuma bermula jam 12 tengah hari dan berakhir jam 5 petang.