Bekalan ikan di pasaran cukup

Syed Abu Hussin Hafiz (tengah) menyerahkan cek elaunnya bernilai RM105,000 kepada Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohamed Akmal Dahalan (kiri) sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat (kanan) ketika ditemui di Taman Berkat di sini hari ini. -Foto Bernama
Syed Abu Hussin Hafiz (tengah) menyerahkan cek elaunnya bernilai RM105,000 kepada Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohamed Akmal Dahalan (kiri) sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat (kanan) ketika ditemui di Taman Berkat di sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BUKIT GANTANG - Bekalan ikan di pasaran adalah mencukupi walaupun pendaratan ikan berkurangan 10 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kekurangan pendaratan itu disebabkan operasi bot di laut dalam menghadapi kekurangan awak-awak yang tidak dapat dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata, laut dalam memerlukan tekong dan awak-awak dalam kalangan warga asing kerana warga tempatan tidak mampu untuk melakukan kerja itu disebabkan tempoh pekerjaan berkenaan memerlukan masa yang lama.

Namun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, kekurangan pendaratan ikan dapat ditampung oleh kegiatan nelayan tempatan.

"Bagaimanapun LKIM mempunyai stok bekalan ikan sejuk beku yang disimpan oleh syarikat-syarikat yang boleh membantu menampung kekurangan bekalan ikan di pasaran,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini pada Isnin.

Syed Abu Hussin berkata, pihaknya sedia meminta mana-mana syarikat supaya mengeluarkan bekalan ikan sejuk beku apabila permintaan diperlukan.

Ditanya mengenai aktiviti laut dalam, beliau berkata, masalah dokumentasi dan prosedur di negara asing menyebabkan awak-awak tidak dapat dibawa masuk untuk bekerja di sektor berkenaan kerana PKP.

“LKIM sudah mendapat kelulusan dari Jabatan Imigresen untuk membawa masuk awak-awak dari Thailand dan Vietnam untuk bekerja di laut dalam dan ada sesetengah awak-awak telah dibenarkan masuk namun kami masih memerlukan pekerja asing untuk bekerja di sektor itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Abu Hussin berkata, LKIM sedia membantu syarikat untuk membawa masuk pekerja asing melalui jalan darat dan mereka hendaklah mempunyai pas perjalanan masuk ke negara ini.

Katanya, syarikat yang mahu mengambil pekerja untuk bekerja di laut dalam perlu membayar kos kuarantin terhadap warga asing terbabit setelah memasuki negara ini.

Beliau turut memaklumkan pemotongan elaun bulanan Ahli Parlimen sebanyak RM25,000 sebulan dan elaun Pengerusi LKIM (RM10,000 sebulan) berjumlah RM105,000 selama tiga bulan mulai bulan ini sehingga Ogos untuk Tabung Bencana Daerah Larut Matang dan Selama.

Sebelum itu, Syed Abu Hussin memberikan bantuan 1.5 metrik tan ikan kembung (1,500 bungkusan) untuk diserahkan kepada 1,218 buah rumah di Taman Berkat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi menyekat penularan Covid-19.

Katanya, bantuan itu bagi meringankan beban keluarga yang tidak dapat keluar mendapatkan barangan keperluan supaya bekalan makanan tidak terputus dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Bantuan ikan itu diserahkan kepada petugas barisan hadapan untuk diedarkan kepada keluarga terbabit sebagai tanggungjawab kepada penduduk dan pengundi saya.

“Selepas ini saya akan memberikan ikan sardin dan ayam sejuk beku bagi penduduk di sini yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.

Taman Berkat di Mukim Matang di Daerah Larut Matang dan Selama dikenakan PKPD mulai Ahad hingga 19 Jun ini manakala kilang Eco Media di kawasan Perindustrian Kamunting juga dikenakan PKPD mulai Isnin sehingga 20 Jun. - Bernama