'Setiap hari saya berdoa tidak dijangkiti'

Kon Yeow bertanya sesuatu kepada warga emas di PPV Spice Arena pada Isnin.
Kon Yeow bertanya sesuatu kepada warga emas di PPV Spice Arena pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - "Setiap hari saya berdoa dijauhkan daripada jangkitan Covid-19," kata pemandu teksi, Shamsuddin Saat, 61 ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Spice Arena, Bayan Baru di sini pada Isnin.

Shamsuddin berkata, dia bersyukur kerana telah menerima dos pertama dan dijadualkan menerima dos kedua pada 31 Ogos nanti.

Menurutnya, setiap hari selepas solat Subuh, dia berdoa tanpa henti dijauhkan dari jangkitan wabak Covid-19 kerana sebagai pemandu teksi kerap berjumpa dengan penumpang.

"Bagaimanapun kebimbangan saya berkurangan selepas menerima vaksin tetapi perlu berhati-hati kerana belum habis dos kedua," katanya.

Shamsuddin berkata, hanya dia menerima suntikan vaksin manakala empat ahli keluarganya yang lain belum walaupun mereka mendaftar bersama.

Shamsuddin
Shamsuddin

"Isteri saya sudah dapat tarikh iaitu 27 Julai nanti, manakala dua anak lagi belum. Syukur lah, hari ini tidak sesak sangat dan proses vaksin berjalan lancar. Saya pun tak rasa pening atau ada simptom lain," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai cenderamata, Teoh Hooi Kheng, 72, gembira apabila dia dipanggil untuk menerima vaksin dos pertama kerana suaminya sudah menerima dua dos sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan suami mendaftar sekali tetapi suami dipanggil dahulu. Dia menerima dos pertama pada April dan kedua pada 20 Mei lalu. Saya bimbang kerana saya perlu berhadapan dengan ramai pelanggan.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat kerana proses hari ini berjalan lancar. Tiada simptom pening atau sebagainya setakat ini kerana saya menghidap tekanan darah tinggi," katanya.

Hooi Kheng menunjukkan borang penerimaan vaksin ketika ditemui pada Isnin.
Hooi Kheng menunjukkan borang penerimaan vaksin ketika ditemui pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi permulaan pada Isnin, PPV Spice Arena akan memberikan suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk sehari.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan 3,000 orang menerima suntikan pada hari bekerja dan 2,000 pada hujung minggu.

"Selain PPV awam, sebanyak enam buah hospital swasta turut dijadikan pusat pemberian vaksin bermula Isnin dan 14 Jun ini dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari bergantung kepada kapasiti dan keupayaan.

"Bagi PPV klinik pula, 13 buah klinik sudah mendaftar setakat ini yang mana ada yang sudah mula beroperasi dengan kapasiti suntikan vaksin antara 36 hingga 90 penerima seminggu," katanya ketika mengadakan lawatan di Spice Arena, Bayan Baru di sini sempena hari pertama operasi PPV mega itu.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dengan tambahan vaksin yang akan diterima daripada kerajaan Pusat, kerajaan negeri kini menyasarkan untuk memberikan vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari.

"Sebelum ini, sasaran kita ialah antara 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini. Namun dengan penambahan bekalan daripada kerajaan Pusat, kita menyasarkan lebih daripada jumlah sebelum ini.

"Peningkatan penerima vaksin juga bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober tahun ini atau mungkin lebih awal iaitu pada Ogos atau September," katanya.