Kes aktif Covid-19 di Labuan meningkat 63 kali ganda

Anggota Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan melakukan kerja-kerja semburan sanitasi dan nyahkuman bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. - Gambar fail Bernama
Anggota Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan melakukan kerja-kerja semburan sanitasi dan nyahkuman bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. - Gambar fail Bernama
A
A
A

LABUAN - Jumlah kes aktif Covid-19 di pulau bebas cukai ini meningkat 63 kali ganda sejak awal bulan lepas dengan empat kluster dijangka terus menyumbang kes baharu harian dua angka masing-masing hingga minggu depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Labuan, Rithuan Ismail, perkembangan itu dijangka menyaksikan Labuan terus mencatatkan kira-kira 200 kes baharu Covid-19 setiap hari.

“Pada awal bulan lepas, Labuan merekodkan tidak sampai 30 kes aktif, tetapi sekarang ada 1,885 kes aktif, sementara empat kluster tersebut, iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau mencatatkan kes baharu lebih 10 kes setiap hari,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, setakat semalam, kluster Victoria Merdeka merekodkan kes kumulatif sebanyak 361 kes, Simpang Sahari (320), Patau-Patau (249) dan Simpang Sungai (156), sementara kluster Layangan kekal dengan 58 kes tanpa sebarang kes baharu dilaporkan sejak beberapa minggu lepas.

Labuan merekodkan kematian terkumpul sebanyak 39 kes setakat Ahad.

Selain itu katanya, jumlah mereka yang diuji positif kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 meningkat lebih 10 peratus.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, Dewan Serba Guna Perbadanan Labuan yang kini berfungsi sebagai pusat kuarantin berisiko rendah akan dijadikan wad untuk pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.

Katanya, individu yang kini ditempatkan di situ akan dipindahkan ke Institut Latihan Perindustrian Labuan yang kembali beroperasi sebagai pusat rawatan berisiko rendah pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 24 jam lalu, Labuan merekodkan 209 kes baharu menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 kini sebanyak 4,961. - Bernama