Kecewa Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa dibatalkan

Poster program berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu. Gambar kecil: Dr Mohd Tajuddin
Poster program berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu. Gambar kecil: Dr Mohd Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pensyarah Seni Bina Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi kecewa apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil keputusan membatalkan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa.

Beliau berkata, syarahan atas talian yang sepatutnya disampaikan oleh Datuk Ramli Ibrahim berkaitan seni tarian merentas perkauman pada Sabtu dibatalkan pihak universiti awam itu atas rujukan Pusat Islamnya.

Menurut veteran akademik berpengalaman selama 34 tahun itu, sebuah universiti adalah tempat ilmu bercanggah dan bercambah serta ilmu itu perlu bercanggah daripada perbahasan dan diskusi ilmiah yang beradab, merendah diri dan kritis.

"Siapa yang sepatutnya menentukan ilmu apa yang perlu bercambah dan bercanggah? Tidak lain daripada orang yang bergelar ‘profesor’. Seseorang profesor adalah sebenarnya ‘universiti’ yang bernyawa dan bergerak ke hulu dan ke hilir.

"Profesor itulah intipati universiti yang menghidupkan sesuatu ilmu, mengembangkan ilmu kepada peringkat perubahan masyarakat dan mencabar ilmu tradisi dan adat resam jika ia membantut perkembangan manusia. Bukan Pusat Islam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seorang profesor senibina mempunyai otonomi penuh di atas ilmunya, begitu juga profesor sains politik juga mempunyai otonomi penuh bagi bab ilmunya samalah dengan profesor fizik atau kejuruteraan, bukan Pusat Islam universiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikon tarian klasik India kesal program dibatalkan

Menurutnya, jika profesor seni halus mengajar kesenian arca dan seni catan Rennaisance dengan menunjukkan pelbagai konsep seperti Surreilisme, Dadaisme, Cubicisme dan Minimalisme maka itulah silabusnya yang pelajar perlu tahu.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ada arca David oleh Michaelangelo yang berbogel, kena faham jugalah. Seni catan Seurat, Rembrant, Monet, Picasso dan ramai lagi yang antara lain ada menggambarkan imejan neraka dan syurga maka perlu juga dihafalkan.

"Sama juga dengan falsafah Parti Komunis Malaya perlu difahami dari perspektif pendokong dan bukan daripada ustaz yang tiada ilmu sains sosial. Kalau ada 100 profesor dalam sesebuah gedung universiti sebenarnya telah ada 100 universiti di dalamnya," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tulisan itu menzahirkan kerisauannya terhadap ke mana arah pembangunan ilmu itu akan dibawa pergi namun mengakui masyarakat perlu menjaga nilai hidup dan agama.

"Tetapi ilmu itu luas dan bercampur aduk dan kalau kita hanya menumpukan kepada pengecilan minda kerana khuatir ‘berdosa’ maka kita tidak akan ke mana dalam dunia ini.

"Saya yakin, jika kita ikhlas mencari ilmu untuk kebaikan semua manusia maka kita tidak boleh ‘sesat’ sebab orang yang mengatakan kita sesat itu sebenarnya dialah yang tak tahu jalan sebab perspektifnya disempitkan dengan identiti cetek sendiri.

"Maka itu, adakah universiti bakal mengilmukan kita atau mendungukan semua," soalnya.