PH bukan kerajaan sepenggal

Wan Azizah menandatangani hasil karya Abdullah Dean sempena majlis temu mesra warga PKR Terengganu bersama TPM, hari ini.
Wan Azizah menandatangani hasil karya Abdullah Dean sempena majlis temu mesra warga PKR Terengganu bersama TPM, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluahkan rasa kecewa ekoran persepsi mengatakan kerajaan PH hanya mampu memerintah negara dalam tempoh sepenggal.

Katanya, ia adalah tohmahan besar dalam keadaan kerajaan berusaha memulihkan kedudukan ekonomi negara.

"Sentimen ini terus dipermainkan. Kita parti terbesar (PKR) yang berkorban dalam keadaan orang lain yang dapat habuan, itu kita harus telan.

"Jika kerajaan ini jatuh pada PRU akan datang, rakyat akan terus hilang keyakinan. Negara akan hancur dan kita tidak mungkin kembali memerintah.

"Jadi, saya mengajak semua mendukung usaha Perdana Menteri untuk memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan oleh UMNO-BN," katanya ketika berucap pada majlis temu mesra warga PKR Terengganu bersama TPM, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah mengajak seluruh ahli parti supaya tidak melayan provokasi pihak lawan.

"Parti pembangkang konsisten menyerang kerajaan, serang tonggak kepimpinan kita.

"Setiap masa mereka cuba meleraikan persefahaman yang kita (PH) meterai sejak 8 Januari 2018 berkenaan peralihan kuasa dan kepimpinan yang dimuktamadkan dalam PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Wan Azizah berkata, kekurangan yang ada pada kerajaan sekarang perlu diterima.

Katanya, perbandingan dengan kerajaan BN tidak boleh dibuat kerana parti itu telah berkuasa 60 tahun.

"Kita tidak boleh harapkan perubahan mendadak dalam masa yang singkat.

"Dalam kerajaan baharu ini, kita mula mengemaskini budaya kerja serta sikap dalam mengendalikan pentadbiran kerajaan," katanya.