X

Kindly register in order to view this article
!

Padah sambut hari jadi

IPD Johor Bahru Selatan menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang sedang menyambut hari jadi dalam sebuah apartmen di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor Bahru Selatan (JBS) menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang sedang menyambut majlis hari jadi di sebuah apartmen di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Selatan pada jam 5 petang.

"Mereka yang berusia 26 hingga 31 tahun itu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan melakukan aktiviti berkumpulan.

"Hasil soal siasat semua suspek mengaku berkumpul untuk berhibur menyambut hari jadi salah seorang daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, mereka dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan dan dikompaun RM4,000 setiap seorang mengikut kesalahan di bawah peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dalam kes berasingan, Mohd Padzli memberitahu sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi yang bertugas Ronda Cegah Jenayah dan Pemantauan Ops Covid-19 melihat sekumpulan lelaki berkumpul di taman permainan berhampiran sebuah flat di Jalan Sri Stulang pada jam 4.30 petang Ahad.

Katanya, kira-kira 10 hingga 15 lelaki itu bertindak melarikan diri.

"Polis menahan empat daripada mereka yang berumur 15 hingga 22 tahun kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

"Kesemua mereka dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan dan dikompaun RM1,500 setiap seorang mengikut kesalahan di bawah peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Tambahnya, IPD Johor Bahru Selatan akan terus melakukan operasi pemantauan dan pematuhan SOP setiap masa dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang melanggar SOP PKP 3.0.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!