PPM Wilayah 2 rampas RM1.2 juta rokok seludup

PPM W2 Johor merampas 171 kotak rokok disyaki rokok tidak bercukai kastam dalam sebuah stor Jalan Siera 6, Pusat Komersial Sierra Maharani, Muar, pada Ahad.
PPM W2 Johor merampas 171 kotak rokok disyaki rokok tidak bercukai kastam dalam sebuah stor Jalan Siera 6, Pusat Komersial Sierra Maharani, Muar, pada Ahad.
A
A
A

MUAR - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPM W2) Johor merampas 171 kotak rokok disyaki rokok tidak bercukai kastam dalam sebuah stor di Jalan Siera 6, Pusat Komersial Sierra Maharani di sini Ahad.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisoner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan dilakukan pada jam 4.30 petang melalui Ops Kontraban dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau memberitahu, polis bertindak atas maklumat dan risikan serta pemantauan hampir 48 jam di lokasi sebelum menyerbu premis berkenaan.

"Serbuan menemui sejumlah kotak berwarna coklat dipercayai rokok tidak bercukai kastam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 8,550 karton rokok pelbagai jenama disembunyikan dalam premis yang dipercayai stor transit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, nilai rampasan berjumlah RM1,282,500 termasuk cukai kastam dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Difahamkan serbuan tersebut tidak melibatkan sebarang tangkapan kerana ketika itu tiada sesiapa dalam stor berkenaan.

Dalam pada itu katanya, PPM Wilayah 2 Johor akan sentiasa meningkatkan operasi dan memperketatkan pengawalan perairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelak dikesan atau ditangkap pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Operasi bersepadu dengan pihak IPD dan balai polis pesisir pantai akan ditingkatkan bagi membanteras sindiket ini," ujarnya.

PPM Wilayah 2 Johor menyeru kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kegiatan menyalahi undang-undang di pesisir pantai menerusi talian 07-237 2221.