Pusat panggilan judi dalam talian diserbu

Polis menyerbu sebuah kondominium di Klebang Kecil, yang dijadikan 'markas' sindiket perjudian dalam talian.
Polis menyerbu sebuah kondominium di Klebang Kecil, yang dijadikan 'markas' sindiket perjudian dalam talian.
A
A
A

MELAKA - Sebuah kondominium di Klebang Kecil di sini yang dijadikan pusat panggilan sindiket perjudian dalam talian tumpas selepas polis menahan enam individu termasuk seorang wanita Ahad lalu.

Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 34 tahun dipercayai sebagai pekerja di pusat panggilan perjudian itu ditahan pada jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ketika Op PKP 3.0.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan awal mendapati pusat panggilan yang beroperasi sejak tiga minggu lalu dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian di Facebook.

"Polis turut merampas beberapa barangan termasuk tiga komputer riba, telefon bimbit serta kad akses dan kunci kondominium. Dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Tambah beliau, dalam serbuan berasingan di Taman umbai Impian Merlimau, Jasin kira-kira jam 1.30 petang, seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen.

"Katanya, kesemua mereka akan disiasat mengikuti Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) akta sama.

"Mereka juga dikompaun RM1,500 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021," katanya.

Artikel Berkaitan: