Polis rujuk KKM, batal kompaun 29 pekerja syarikat minyak

Mior Faridalathrash Wahid
Mior Faridalathrash Wahid
A
A
A

IPOH - Polis akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah Manjung untuk membatalkan 29 kompaun yang dikenakan terhadap pekerja sebuah syarikat minyak dan gas atas kesalahan gagal mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan dengan pihak unit inspektorat dan perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku kekeliruan terhadap kesalahan tersebut.

"Pihak KKM mengesahkan bahawa pemilik aplikasi tersebut perlu mengemas kini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat serta disahkan positif dijangkiti Covid-19 sahaja.

"Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Manjung akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah Manjung untuk memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pembatalan kompaun tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan pekerja syarikat terbabit dikompaun RM2,000 kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Operasi yang diketuai PDRM itu turut disertai KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Artikel Berkaitan: