Sindiket 'Calling Centre' warga Korea Selatan tumpas

Ayob Khan menunjukkan barang rampasan daripada sindiket "Calling Centre" yang ditumpaskan di Iskandar Puteri.
Ayob Khan menunjukkan barang rampasan daripada sindiket "Calling Centre" yang ditumpaskan di Iskandar Puteri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 10 individu termasuk sembilan lelaki warga Korea Selatan disyaki terbabit dengan sindiket 'Calling Centre' dengan nilai taruhan dianggarkan RM87 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu tumpas hasil dua serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Iskandar Puteri.

Menurutnya, turut ditahan dalam serbuan pada jam 5 petang itu ialah seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai 'runner' serta menjaga makan, minum dan kebajikan warga Korea Selatan yang bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan

"Lelaki warga Korea Selatan itu menjaga judi atas talian secara dua syif selama 24 jam.

"Sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan dari Korea Selatan. Semua transaksi kewangan akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank yang berpusat di negara itu.

"Ahli sindiket itu memasuki negara ini sebagai pelancong dan menggunakan pas lawatan sosial. Mereka kemudiannya menyewa kediaman elit yang mempunyai jaringan internet yang pantas serta kawalan keselamatan yang baik," katanya pada sidang akhbar IPK Johor di sini pada Isnin.

Menurut Ayob Khan, sindiket ini sukar dikesan pihak berkuasa kerana kerap menukar operasi dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Dianggarkan nilai taruhan harian sindiket ini boleh mencecah RM1 juta dan melibatkan 236 kaki judi. Sindiket ini menawarkan lapan platform judi dalam talian yang digunakan bagi tujuan pertaruhan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua yang ditahan berumur 29 hingga 66 tahun. Warga tempatan pula mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil daripada serbuan dilakukan, polis merampas enam set komputer; empat komputer riba, 13 telefon bimbit, lapan kad ATM, 12 keping kad prabayar, sebuah pacuan empat roda, empat modem, empat Ipad, mata wang Malaysia RM 36,168 dan mata wang Korea 7.77 juta won ( RM 28,889)

Jelasnya lagi, sembilan suspek warga Korea Selatan ditahan reman selama 14 hari bermula Ahad manakala suspek warga tempatan ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad.

"Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1953/1963 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 /1963," katanya.