PAC akan panggil semula Zambry

Cheok Keng ketika sidang media mengenai hasil mesyuarat PAC, hari ini.
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Neger (PAC) Perak akan memanggil semula bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke sesi pendengaran yang dijadual diadakan pada 5 dan 6 Mac ini.

Pengerusinya, Leong Cheok Keong berkata, selain Zambry, turut dipanggil semula ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) selain turut memanggil CEO MB Inc sedia ada, Anuar Zainal Abidin berhubung siasatan ke atas pengurusan perbadanan itu.

Beliau berkata, keputusan memanggil semula dua individu itu dibuat selepas Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham membuat ketetapan bahawa semua pendengaran awam boleh dijalankan secara terbukan dan pihak jawatankuasa PAC juga boleh menggunakan budi bicara untuk membuat prosidng secara tertutup.

"Dalam keputusan Speaker itu menjelaskan bahawa dari segi undang-undang memang PAC boleh menjalankan siasatan secara terbuka dan selama ini pandangan kita adalah betul. Kami diberitahu kita mempunyai budi bicara sama ada untuk menutup sebahagian pendengaran atau siasatan kita.

"Dengan ketetapan ini, kita boleh meneruskan sekali lagi dengan siasatan yang kita tangguhkan dahulu kerana menunggu ketetapan ini ke atas MB Inc.

Bagaimanapun kali ini kita buat tertutup kepada media kerana mengikut budi bicara disebabkan permintaan dari saksi-saksi untuk elak daripada kontroversi atau melambatkan prosiding," katanya pada sidang media, hari ini.

Cheok Keng berkata, bagi prosiding kes lain pihaknya akan mengadakan sesi pendengaran awam secara terbuka selepas ini.

Katanya, surat-surat untuk memanggil ketiga-tiga individu itu akan dihantar secepat mungkin bagi membolehkan mereka bersedia untuk hadir.

Sebelum ini, Zambry mempertikaikan tindakan PAC mengadakan sesi pendengaran awam kerana tidak mendapat ketetapan daripada Speaker DUN dan amalan tersebut bercanggah dengan peraturan Dewan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dalam mesyuarat bersama-sama ahli PAC hari ini juga menetapkan bahawa akan melantik syarikat audit terkemuka iaitu PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk membuat forensik audit ke atas Taman Tema Animasi FIlem Studio (MAPS).

Katanya, surat akan dikemukakan kepada Koo Ham tentang pelantikan itu dan dalam tempoh dua bulan laporan tersebut dijangka siap.

Beliau berkata, sebaik sahaja laporan tersebut diterima, siasatan akan dibuat oleh jawatankuasanya terhadapa taman tema tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia