MPK, JAS keluar kompaun terhadap gudang punca pencemaran udara

Operasi bersepadu yang diketuai Ahmad Fadzli disertai beberapa melibatkan anggota penguatkuasa MPK, JAS dan IPD Klang Selatan, pada Ahad.
Operasi bersepadu yang diketuai Ahmad Fadzli disertai beberapa melibatkan anggota penguatkuasa MPK, JAS dan IPD Klang Selatan, pada Ahad.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Pemilik sebuah premis gudang berhampiran Jalan Kem, di sini yang beroperasi secara tidak sah dan menjadi punca pencemaran udara dikenakan tindakan menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan pada Ahad.

Operasi bersepadu itu disertai beberapa agensi antaranya seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak empat kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK 3) Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) MPK 2007 ke atas pihak terlibat selepas didapati menjalankan operasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

"Selain itu, siasatan juga mendapati gudang berkenaan turut menjalankan aktiviti menyimpan arang batu, kontena, pallet bahan bakar dan sisa cangkung (tempurung sawit).

"Longgokkan bahan tersebut dan aktiviti pemindahannya ke kontena atau lori telah menyebabkan berlaku pencemaran udara di mana habuk berterbangan ke kawasan penempatan penduduk setempat di sini.

"Berikutan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan satu notis pematuhan pembersihan susulan aktiviti yang menyebabkan pencemaran terbabit," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, operasi gudang itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang memaklumkn bahawa pihaknya mendapat aduan penduduk setempat berhubung pencemaran udara di kawasan itu berpunca dari premis berkenaan.

Menerusi kemaskini di laman Facebook pada Ahad, Azmizam berkata, pihaknya telah merujuk permasalahan itu kepada MPK, JAS dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil berhubung isu itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata, menerusi operasi itu, anggota IPD Klang Selatan turut menahan empat orang warga asing dipercayai pekerja di gudang terbabit mengikut Akta 342 Kanun Keseksaan.

"MPK akan memperhebatkan lagi operasi membanteras kilang-kilang haram ini dari masa ke masa dan sentiasa peka terhadap aduan penduduk setempat.

"Kolaborasi bersama pelbagai agensi ini juga akan diteruskan bagi menangani isu ini secara berkesan," katanya.