X

Kindly register in order to view this article
!

1,000 penduduk PPR Kampung Muhibbah terima suntikan vaksin

Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak [email protected] merupakan antara tujuh kandungan IWC 5.0 bagi membantu penduduk di Wilayah Persekutuan. Gambar kecil: Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,000 orang penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak [email protected], pada Isnin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program yang bermula seawal jam 9 pagi sehingga 4 petang itu menyediakan kemudahan dua trak yang mana setiap satu mampu menampung kapasiti sebanyak 500 dos vaksin.

Beliau berkata, program itu juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan kawalan ketat daripada anggota penguat kuasa.

"Pergerakan penerima vaksin dalam program ini dikawal selia oleh anggota penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa lagi bagi memastikan tidak berlaku kesesakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak [email protected] merupakan antara tujuh kandungan Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 bagi memberi kemudahan dan mengurangkan beban warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya B40 dan miskin bandar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pelaksanaan program itu merupakan usaha bagi memastikan kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan terpelihara susulan penularan wabak Covid-19 dengan varian baharu yang menunjukkan impak peningkatan kes mendadak.

"Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil langkah proaktif untuk merancakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui pelaksanaan program ini bagi memboleh masyarakat mendapat akses kepada vaksinasi dengan lebih pantas khususnya di kawasan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) DBKL," katanya.

Tambahnya, program dilaksanakan itu juga terbuka kepada individu telah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan keutamaan diberikan kepada warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

"Mereka semua telah dijadual mengikut slot masing-masing tertera menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!