Siaran langsung: Jangan salahkan RTM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada Lawatan Kerja 'Jom Bersama' Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Warga Telekom Malaysia Berhad (TM) di Menara TM hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada Lawatan Kerja 'Jom Bersama' Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Warga Telekom Malaysia Berhad (TM) di Menara TM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR– RTM bertindak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam mana-mana program yang turut dihadiri menteri dan menteri besar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini berkata ia berhubung dengan satu aduan yang dibangkitkan oleh pegawai seorang menteri, Lim Swee Kuan terhadap RTM berhubung kekurangan liputan secara langsung satu acara baru-baru ini.

“Berhubung aduan yang diterima, SOP RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila perdana menteri menghadiri sebuah majlis rasmi, maka hanya ucapannya (perdana menteri) yang akan disiarkan secara langsung melalui RTM.

“Maka RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengudarakan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan, memandangkan perdana menteri turut hadir dan berucap di majlis tersebut,” katanya.

Tambah Gobind walaupun wujud SOP tersebut, masih ada ruang bagi pihak penganjur sesebuah acara untuk berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan terhadap perkara-perkara yang perlu disiarkan secara langsung.

Namun katanya dalam hal ini, RTM tidak melakukan kesalahan dan perkara dilaksanakan bertepatan dengan aturan pihak penganjur dan SOP yang terpakai untuk majlis sedemikian.

Katanya, ia juga termasuk memberi liputan langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara tersebut.

“Dalam kes ini, tiada permintaan sebegitu dibuat. Maka RTM dalam mematuhi SOP telah dengan tepat hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam majlis tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga dimaklumkan, ini dilakukan dengan persetujuan pihak penganjur, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.

Gobind berkata jika wujudnya sebab yang kukuh, beliau tidak teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapapun dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan di RTM.

Sebelum ini, Swee Kuan mempersoalkan tindakan RTM kerana tidak menyiarkan ucapan seorang menteri pada liputan secara langsung dalam satu acara baru-baru ini. – Bernama