X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah kes keracunan makanan menurun 44.2 peratus

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kes keracunan makanan di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak 44.2 peratus iaitu daripada 516 kes kepada 288 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun masih terkawal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu berkaitan memandangkan soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan.

Dalam kenyataan media sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang disambut pada Isnin dengan slogan ‘Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama’, Dr Noor Hisham menyatakan walaupun negara sedang dilanda pandemik CovidD-19, KKM tetap memastikan aktiviti pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan.

Jelasnya pada tahun lepas, sebanyak 66,210 premis makanan di seluruh negara diperiksa dan 90.1 peratus daripadanya didapati bersih, manakala 1,534 (2.32 peratus ) tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan dan telah diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 19,789 notis juga telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak.

Dr Noor Hisham menyatakan komitmen KKM memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat di sepanjang rantaian makanan dengan menggalakkan penglibatan semua pihak. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!