Tidak mustahil Bersatu berkembang ke Sabah

Bersatu
Bersatu
A
A
A

LABUAN - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli tidak menolak kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan masuk ke Labuan selepas ia ‘dapat bertapak' di Sabah.

Katanya kini terdapat satu kumpulan yang beliau kenal sedang berusaha untuk menubuhkan bahagian parti itu di sini dan telah mendaftarkan ramai penduduk sebagai ahli Bersatu.

“Sudah tentulah sekiranya kepimpinan Bersatu telah memutuskan untuk masuk ke Sabah, kami amat yakin ia akhirnya akan berkembang juga ke Labuan, dan kami amat mengalu-alukan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Kesihatan UTC di sini hari ini.

Beliau berkata landskap politik semasa menyebabkan banyak orang ingin melihat perubahan politik mengikut acuan politik mereka sendiri.

“Sebagai presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafei Apdal telah mengeluarkan kenyataan positif bahawa partinya tidak akan menyekat Bersatu daripada memasuki Sabah. Saya sebagai anggota Parlimen dari parti Warisan perlu akur dengan kenyataan itu," katanya.

Rozman berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan (sekiranya Bersatu telah masuk ke Labuan), akan ada permintaan untuk menyertai senarai kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

“Bersatu juga adalah salah satu parti komponen PH, sudah tentu mereka (pemimpin) mahu dimasukkan dalam senarai PH, apabila parti telah menyertainya tetapi kami mempunyai formula untuk memastikan semua orang diberi ruang, " kata Rozman.

Beliau berkata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh adalah seorang pemimpin Bersatu dan Rozman percaya parti itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri untuk memberi sumbangan kepada penduduk Labuan.

Artikel Berkaitan:

Para pemerhati politik tempatan menjangka kemasukan Bersatu ke Labuan akan menyaksikan penyusunan semula senarai anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk kerana penyenaraian mereka adalah berdasarkan nisbah parti-parti politik dalam PH yang terdiri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Warisan dan DAP. - Bernama