X

Kindly register in order to view this article
!

Segerakan suntikan vaksin kepada petugas media

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Media Elit Kedah (KMEK) pada Isnin.
A
A

ALOR SETAR - Pengamal media di Kedah mohon kerajaan menyegerakan suntikan vaksin kepada petugas media yang merupakan sebahagian petugas barisan hadapan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Kelab Media Elit Kedah (KMEK) dalam satu kenyataan berkata, pengamal media merupakan petugas barisan hadapan yang tidak pernah culas turun ke lapangan untuk melaporkan perkembangan terkini wabak, malah terpaksa menjalani ujian swab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan diri dan masyarakat sekeliling terjamin.

"KMEK menyokong penuh kenyataan Kelab Media Putrajaya mengenai pemberian vaksin kepada pengamal media yang masih belum dilaksanakan sehingga kini.

"Pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 28 April, telah memberi harapan kepada 1,500 pengamal media di seluruh negara untuk diberikan suntikan vaksin pada Mei lalu," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, pada 27 Mei lalu, Khairy Jamaluddin yang juga Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memaklumkan seramai 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

"Keputusan CITF itu untuk mengutamakan barisan hadapan termasuk guru dan pengamal media. Namun, sehingga kini masih tiada sebarang berita tentang tarikh pemberian vaksin kepada petugas media yang menantikan suntikan tersebut," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan digesa serius beri vaksin kepada petugas media

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pengamal media bukan sekadar melaporkan, malah turut menjadi perantara kepada masyarakat tentang pentingnya pengambilan vaksin selain memainkan peranan mengubah persepsi negatif segelintir rakyat terhadap vaksin.

"KMEK berharap petugas media di Malaysia tidak menjadi barisan hadapan yang di belakangkan dalam pemberian vaksin supaya kami dapat terus berbakti dan membawa agenda kerajaan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini," katanya.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, CITF akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripada 114 agensi yang berdaftar di negara ini, untuk mendapatkan vaksin.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima 5,867 nama petugas media dan janji temu akan dikeluarkan secepat mungkin selepas mendapat butiran lengkap.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!