Tangguh program tidak berkaitan, fokus pelaksanaan PdPR

Harry Tan
Harry Tan
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan program yang tidak berkaitan supaya guru dapat memberi fokus kepada penambahbaikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, fokus utama pendidikan pada ketika ini adalah memperkukuhkan lagi pelaksanaan PdPR dengan membuat perancangan yang lebih berstruktur dan tersusun.

Justeru menurut beliau, KPM perlu menilai semula pelaksanaan beberapa program yang dilihat hanya akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru.

“Para pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid-murid dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak dua tahun kebelakangan ini akibat pandemik Covid-19.

“Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka kerap tergendala dan murid-murid terpaksa belajar dari rumah.

“Apabila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan, sudah tentu ada murid yang akan ketinggalan kerana tidak dapat akses kepada guru,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, antara contoh program tersebut adalah seperti Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di bawah Inisiatif #20 PPPM2021, Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT dan pelaksanaan kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pelaksanaan Dialog Prestasi Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

Dalam kenyataan yang sama, Harry berkata, kejayaan pelaksanaan PdPR adalah sangat penting supaya tiada murid yang akan tercicir dalam pendidikan terutama di kawasan pedalaman dan daripada keluarga yang kurang berkemampuan

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid-murid hendaklah dijadikan perkara yang paling utama dalam pendidikan pada masa ini

“Justeru, NUTP memohon agar pelaksanaan PdPR dapat terus diperkukuhkan dengan menambah baik kaedah Pembelajaran dan Pemudahcara (PdPc) agar ia lebih berkesan.

“NUTP amat mengalu-alukan pelaksanaan program-program yang telah disusun atur,” katanya.