Staf Pejabat Mufti meninggal dunia akibat Covid-19

Hantaran di Facebook Dr Zulkifli pada Isnin memaklumkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan kehilangan seorang staf yang dikasihi ramai.
Hantaran di Facebook Dr Zulkifli pada Isnin memaklumkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan kehilangan seorang staf yang dikasihi ramai.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan kehilangan seorang staf yang dikasihi ramai apabila lelaki berusia 30 tahun itu meninggal dunia akibat Covid-19 kira-kira jam 8 malam, Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan takziah ke atas pemergian Datu Sadam Turan pada usia yang muda.

Dr Zulkifli berkata, Datu Sadam pernah terlibat dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sebelum disahkan dijangkiti wabak itu.

“Dahulu beliau menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Semalam, jenazah beliau pula diuruskan oleh petugas. Besar jasa beliau kepada umat Islam di Labuan.

“Saya doakan moga Almarhum Datu Sadam Turan dikurniakan syahid. Moga ibu bapa dan keluarganya dikurniakan ketabahan dan kesabaran,” katanya dalam siaran Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berita kematian tersebut dimaklumkan kepada beliau pada jam 12 tengah malam Ahad melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp.

“Datu Sadam adalah antara staf Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan yang saya kasihi. Masih segar di ingatan saya ketika dia mula-mula melapor diri sekitar tiga atau empat tahun lalu.

“Dek keunikan namanya, tubuh yang sedikit gempal dan sifat ramahnya, saya senang mengingati dia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Datu Sadam adalah antara individu terawal yang menyambut beliau di Lapangan Terbang Labuan setiap kali mengadakan lawatan kerja ke kawasan tersebut.

“Selesai tugas di siang hari, biasanya kami akan ke Anjung Ketam atau ke Rumah Penginapan Persekutuan (RPP) Labuan untuk menikmati makanan laut.

“Dia yang biasanya berkhidmat membakar ikan, ketam, udang bersama sahabat-sahabat lain,” tambahnya.