PKPD bandar Bentong, lapan laluan ditutup

Lapan laluan termasuk jalan alternatif sekitar daerah ini ditutup susulan pelaksanaan PKPD di bandar Bentong bermula Ahad hingga 19 Jun ini.Gambar hiasan. - Foto 123RF, gambar kecil: Zaiham
Lapan laluan termasuk jalan alternatif sekitar daerah ini ditutup susulan pelaksanaan PKPD di bandar Bentong bermula Ahad hingga 19 Jun ini.Gambar hiasan. - Foto 123RF, gambar kecil: Zaiham
A
A
A

BENTONG - Sebanyak lapan laluan termasuk jalan alternatif sekitar daerah ini ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) di bandar Bentong bermula Ahad hingga 19 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, antara laluan yang ditutup, Jalan Kuala Lumpur-Raub-Gua Musang melalui Kampung Chinta Manis- Mempaga-Simpang Lebu, laluan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi, Bukit Tinggi dan Jalan Kampung Simpang Durian, Manchis.

Menurutnya, laluan lain yang ditutup, jalan susur masuk Bentong Timur, simpang Lebu Jalan Raub-Bentong, susur Barat Bentong, jalan lama Kuala Lumpur-Bentong dan Jalan Benus Jaya.

"Sepanjang tempoh PKPD di bandar Bentong ini, sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bentong menghala ke Kuantan diteruskan dengan operasi kawalan 24 jam," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Zaiham berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama sepenuhnya dan bersabar dalam menghadapi situasi itu.

"Langkah yang dilaksanakan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa namun ia usaha bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19 di negara dan negeri ini," katanya.

Bandar Bentong dilaksanakan PKPD bermula Ahad atas penilaian pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan nasihat Kementerian Kesihatan bagi memastikan kes jangkitan di lokaliti itu dapat dibendung.

Antara kawasan terlibat, Kampung Chamang Lama dan Baru, Taman Bukit Chamang, Kawasan Perindustrian Bentong, Kampung Sungai Marong, Taman Bukit Bentong dan Bentong Heights.

Artikel Berkaitan: