Selangor terima aduan 30 tan lambakan hasil pertanian

Lakaran grafik menunjukkan lambakan hasil pertanian dialami di tiga daerah di negeri Selangor.
Lakaran grafik menunjukkan lambakan hasil pertanian dialami di tiga daerah di negeri Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Agro Prihatin Selangor menerima 11 aduan berhubung lambakan komoditi pertanian pelbagai jenis di tiga daerah di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Ir Izham Hashim berkata, tiga daerah yang terkesan ialah di Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

"Lambakan komoditi pertanian (pelbagai jenis) di tiga daerah itu berjumlah 30 metrik tan. Bagaimanapun masalah itu dijangka dapat ditangani apabila lambakan hasil pertanian terbabit akan dibeli dan dipasarkan ke 12 outlet yang telah dikenalpasti.

"Tunggu info jualan dalam masa terdekat," katanya yang memuat naik status di Facebook pada pada Isnin.

Menerusi lakaran grafik yang dimuat naik di Facebook terbabit menunjukkan enam komoditi hasil pertanian di tiga daerah terbabit mengalami lambakan pada Sabtu.

Antara jenis komoditi pertanian itu ialah pisang tanduk, pisang berangan, cili kulai 461, cili bara, ubi kayu dan limau kasturi.

Pada Rabu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membeli lambakan hasil pertanian di seluruh negeri susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Amirudin dilaporkan berkata, menerusi Program Agro Prihatin Selangor itu, urusan pembelian akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta seluruh jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani.

Artikel Berkaitan: