Generasi yang tertangguh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun yang kini sepatutnya belajar di Tingkatan Dua telah menghabiskan masa sejak enam bulan yang lalu menjual buah.

Pada sebelah pagi dia menguruskan kandang lembu milik keluarganya.

Adakah dia tidak bersekolah? Ya, dia masih bersekolah tetapi sepertimana beribu lagi yang lain, dia adalah generasi yang tertangguh.

Oleh kerana sekolah ditutup kerana wabak Covid-19 (hanya dibuka untuk seketika sahaja awal tahun ini) remaja ini mempunyai ‘kebebasan᾿ untuk melakukan apa yang dia rasa ‘baik᾿ bagi dirinya.

Rakan sekelasnya berjumlah 32 orang. Namun yang betul-betul mengambil bahagian dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR hanyalah sekitar maksimum sembilan orang setiap hari.

Pada kebiasaannya cuma sekadar enam orang sahaja. Ini adalah grup teras yang kaki belajar. Yang lain sekejap ada sekejap tidak ada.

Remaja yang menjual buah dan mengembala lembu itu tidak pernah masuk kelas PdPR walau sekali pun.

Bila ditanya kenapa dia tidak hadir kelas secara online itu, dia menjawab mudah; “Jual buah dapat duit poket...”Tetapi bagaimana tentang masa depan? Itu pun dia jawab mudah; “Inilah masa depan saya...menjual buah-buahan.”Oleh kerana dia hidup di kawasan perkampungan dan jarang ke sekolah lebih-lebih lagi ketika Covid-19 ini, dia melihat menjual buah itu adalah masa depan dia.

Artikel Berkaitan:

Perkiraannya sangat mudah. Dia memperoleh wang dengan hasil kerjanya itu. Dan dalam keadaan di mana ibu bapanya sudah tidak bekerja dia memerlukan wang untuk kelangsungan hidupnya.

Dia hanya mundar-mandir di kawasan kampungnya sahaja. Dia tidak menyewa rumah kerana rumahnya sekarang ialah rumah pusaka yang diwarisi daripada nenek moyangnya.

Bil elektrik dan air tidak tinggi kerana boleh dikatakan sebahagian besar hidupnya dihabiskan di luar (dalam konteks ini di kedai buah tempat dia bekerja sekarang) dan masa lapangnya pula dihabiskan di kedai motosikal untuk membuat modifikasi ke atas motonya.

Bagi dia itulah masa depan. Selama ini dia ‘memaksa’ diri ke sekolah kerana jika tidak hadir tiga hari guru besar akan datang mencari di rumah.

Tapi kini itu semua baginya bukan satu masalah lagi sebab memang sekolah ditutup pun. Jadi tidak ada siapa yang datang mencarinya di rumah.

Itulah realiti kehidupan dunia murid sekarang. Segala-galanya tertangguh kerana Covid-19 termasuklah peperiksaan besar seperti SPM dan lain-lain.

Malah penggal persekolahan mereka juga dah jadi tunggang terbalik.

Yang terbaru, sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 13 dan 14 Jun ini akan dilaksanakan menerusi kaedah PdPR. Keputusan ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin.

Menurutnya, sesi PdPR akan berlangsung untuk tempoh 25 hari sebelum cuti pertengahan penggal yang akan bermula 16 dan 17 Julai.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Katanya, selepas cuti pertengahan penggal, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula berhubung pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi semasa ketika itu.

Ertinya belum ada kepastian lagi sama ada anak-anak kita akan dapat masuk sekolah seperti biasa selepas ini.

Keputusan ini disambut dengan sorakan oleh pelajar yang kini menjual buah tetapi diterima dengan wajah yang berkedut oleh rakan-rakannya yang menjadi kumpulan teras kelas dalam talian.

Sebenarnya situasi yang sedang kita semua hadapi sekarang samalah sepertimana datuk nenek kita hadapi pada zaman perang dunia dahulu.

Ketika era itu, semua sistem dan kehidupan normal terhenti. Anak-anak tidak dapat bersekolah dan ibu-bapa hilang pekerjaan.

Pendek kata, segala-galanya dicatu dan tertangguh.

Cuma bezanya, dalam perang dunia, kematian berlaku kerana peperangan dan infrastruktur musnah hancur akibat dibom.

Kali ini kematian tetap berlaku cuma dengan cara berbeza. Musuh di depan mata, cuma kita tidak dapat lihat dengan mata kasar.

Namun kehidupan tetap jadi huru-hara dan dalam banyak hal tertangguh sepertimana kehidupan di zaman perang.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.