Kita tidak perlukan UNHCR lagi

Sepanjang Januari hingga Julai 2020, UNHCR hanya berjaya menempatkan 317 pelarian Rohingya di negara ketiga. - Gambar hiasan.
Sepanjang Januari hingga Julai 2020, UNHCR hanya berjaya menempatkan 317 pelarian Rohingya di negara ketiga. - Gambar hiasan.
A
A
A

MALAYSIA bukan negara yang menandatangani Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Cuma atas dasar kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk tinggal sementara di negara sebelum ditempatkan di negara-negara ketiga oleh pertubuhan itu.

Hingga bulan Mac tahun ini, dilaporkan terdapat sekitar 178,920 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia dengan majoriti berasal dari Myanmar (102,350 etnik Rohingya, 22,430 etnik Chin dan 29,360 lain-lain etnik).

Namun begitu, ramai yang mendesak kerajaan menutup sahaja pejabat UNHCR di negara ini kerana pertubuhan itu bertindak seolah-olah mereka adalah ‘kerajaan sendiri di dalam Malaysia’.

Baru-baru ini, pertubuhan itu mahu kerajaan membenarkan mereka mendapat akses ke pusat tahanan imigresen kerana ‘ribuan pencari suaka’.

Apa keperluan mereka untuk masuk ke depot tahanan? Permintaan UNHCR itu adalah sangat keterlaluan dan tidak menghormati Malaysia yang menerima mereka masuk ke negara ini.

Percaya atau tidak, pelarian Rohingya yang memegang kad UNHCR berjumlah 86,155 orang di negara ini dan hampir menyamai bilangan 108,000 penduduk Putrajaya.

Padahal mereka yang diberikan kad pelarian UNHCR hanya dibenarkan berada di Malaysia untuk sementara waktu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, sepanjang Januari hingga Julai 2020, pertubuhan itu hanya berjaya menempatkan 317 pelarian Rohingya di negara ketiga.

Paling dibimbangkan adalah pelbagai isu sosial timbul, termasuk peningkatan kes jenayah.Sampai bila perkara ini harus dibiarkan. Kesan terhadap lambakan etnik ini mesti diambil berat.

Kerajaan sudah berlembut, tetapi golongan ini mengambil peluang dengan membuat onar. Bak kata pepatah Melayu, ibarat cacing telah naik ke mata. Oleh itu amat wajar sekiranya operasi UNHCR di negara ini ditutup sahaja.