'Total lockdown': Peniaga pun kena tukar bisnes secara total

Nurulashikin kini rancak berbisnes rojak buah dan kuah rojak dari rumah ke rumah di sekitar PPR Pantai Ria di ibu negara.
Nurulashikin kini rancak berbisnes rojak buah dan kuah rojak dari rumah ke rumah di sekitar PPR Pantai Ria di ibu negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Demi meneruskan survival kehidupan, majoriti peniaga terpaksa menukar strategi perniagaan masing-masing termasuk memulakan semula perniagaan baharu secara total gara-gara bisnes asal tidak dibenarkan beroperasi ekoran pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Pengusaha dekorasi belon hiasan dan gubahan bunga XOXO Balloon (@xoxo.balloon), Nurulashikin Ahmad Zubir, 36, berkata, sejak total lockdown dilaksanakan Selasa lepas, mahu tidak mahu dia terpaksa memulakan penjualan rojak buah dan kuah rojak Auntie Yoi (@auntie.yoi) dari rumah ke rumah di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di ibu negara.

Lebih memburukkan keadaan katanya, bisnes pembuatan perabot Kawood (@kawoodkl) milik suami, Hafiz Johari, 36, juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu ketika ini gara-gara tidak tersenarai di bawah senarai perkhidmatan perlu (essential services).

"Keuntungan juga tidak begitu memberangsangkan kerana kami tidak menjual rojak buah dan kuah rojak dengan kuantiti yang banyak, cukuplah untuk kami sekeluarga bertahan sepanjang tempoh total lockdown ketika ini.

"Sambutan pelanggan juga bercampur-baur sebenarnya, ada hari yang okey namun ada juga hari yang sepi tanpa pelanggan. Adat orang berniaga, kami bagaimanapun tetap bersyukur kerana mendapat sokongan pelanggan-pelanggan lama daripada bisnes asal selain dapat mencari pelanggan baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nurulashikin memberitahu, meskipun akur dengan arahan SOP kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19, dia dan suami benar-benar berharap supaya bisnes asal masing-masing dapat beroperasi semula dalam tempoh dua minggu lagi meskipun terdapat kemungkinan perintah total lockdown boleh dilanjutkan selepas itu.

"Bukan apa, kami sebenarnya agak risau juga jika ada dalam kalangan pelanggan lama yang menyangkakan kami tidak lagi meneruskan bisnes asal yang merupakan pendapatan utama kami gara-gara lama tidak beroperasi.

"Buat masa ini, saya dan suami tetap menerima tempahan pelanggan untuk disiapkan sementara menunggu untuk kembali dibenarkan membuka bisnes asal," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Najib Mohd Nor (kanan) dibantu isterinya, Rosela menyediakan persiapan memasak pulut kuning dan rendang sementara menanti bisnes asalnya iaitu studio rakaman muzik dibuka semula kepada orang ramai.
Mohd Najib Mohd Nor (kanan) dibantu isterinya, Rosela menyediakan persiapan memasak pulut kuning dan rendang sementara menanti bisnes asalnya iaitu studio rakaman muzik dibuka semula kepada orang ramai.

Dalam pada itu, pemilik studio rakaman muzik Sarang Suara Studio (@sarangsuara), Mohd Najib Mohd Nor, 41, kini fokus berbisnes pulut kuning dan rendang Mayel's Rendang (@mayelsrendang_83) yang diusahakan bersama isteri, Rosela Ismail, 41, ekoran tidak lagi boleh menerima tempahan orang ramai untuk membuat sesi latihan bermain muzik (jamming) sepanjang tempoh total lockdown.

Menurut Mohd Najib, ini bukan kali pertama dia terpaksa memulakan perniagaan baharu, contohnya apabila turut pernah mengusahakan perkhidmatan mencuci kenderaan dari rumah ke rumah menerusi syarikat Sarang Cuci ketika PKP1.0, namun bisnes itu juga tergendala apabila pusat cuci kenderaan kembali dibenarkan beroperasi pada ketika itu.

"Saya amat bersyukur kerana walaupun keuntungan tidak seberapa, bisnes pulut rendang tetap mendapat sambutan menggalakkan terutamanya daripada pelanggan yang ingin mencuba pulut kek berhias bagi menggantikan kek hari jadi.

"Selain pulut kuning dan rendang, terdapat pelbagai menu lain juga disediakan Mayel's Rendang seperti laksa dan juga kuih vadey sejuk beku yang akan dihantar menerusi kaedah food delivery mengikut kadar caj yang berpatutan di sekitar Seri Kembangan, Selangor.

"Pada masa sama, saya juga masih menerima projek berkaitan rakaman dan gubahan lagu yang dilakukan di rumah sementara menanti masa bilakah waktu sebenar studio rakaman boleh dibuka semula kepada orang ramai, jadi harap-haraplah ia akan dapat kembali memulakan operasi dalam tempoh dua minggu lagi," ujarnya.