De Paula, Liridon kena 'hukum'

Aksi longlai De Paula ketika aksi menentang UAE pada Jumaat lalu mendapat kritikan hebat dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan.
Aksi longlai De Paula ketika aksi menentang UAE pada Jumaat lalu mendapat kritikan hebat dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan.
A
A
A

DUA pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula tidak akan mendapat laluan mudah untuk membarisi kesebelasan utama pasukan ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di stadium Al Maktoum, Dubai pada 12 Jun ini.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, tiada jaminan untuk kedua-dua pemain itu berada dalam kesebelasan utama pasukan selepas kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat lalu.

"Bukan satu jaminan kedua-dua pemain itu akan ada dalam kesebelasan utama pasukan. Namun, saya nak tegaskan bukan hanya kedua-dua pemain itu sahaja yang perlu disalahkan tetapi keseluruhan pasukan.

"Sudah tentu semua pemain begitu kecewa dengan kekalahan (kepada UAE) tersebut. Bola sepak ini kita bermain sebagai satu pasukan dan kita tidak boleh menyalahkan seseorang pemain 100 peratus dalam satu-satu perlawanan," katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Kelibat De Paula dan Liridon dikecam selepas gagal menampilkan persembahan terbaik sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan tewas mudah kepada UAE pada Jumaat lalu.

Ia sekali gus menyaksikan ramai pihak mahu kedua-dua pemain naturalisasi itu direhatkan dan memberikan ruang kepada pemain tempatan untuk berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut menyedari kemahuan peminat bola sepak negara untuk Harimau Malaya dirombak sepenuhnya menjelang aksi bertemu Vietnam nanti.

"Selepas kekalahan kepada UAE itu, memanglah ramai berpendapat kita perlukan rombakan besar-besaran dalam pasukan. Tetapi kita masih ada lagi empat lima hari untuk buat persiapan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sedang mengkaji faktor kekalahan pasukan selain mencari ramuan terbaik untuk hadapi Vietnam," katanya yang turut memaklumkan Junior Eldstal kemungkinan terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Dalam masa sama, Cheng Hoe turut akan mengkaji aksi Vietnam dan Indonesia yang dijadual bertemu di Stadium Al-Maktoum, Dubai pada 8 Jun ini.

"Sudah tentu ia menjadi tugas barisan kejurulatihan untuk mengkaji aksi Vietnam itu. Sasaran kami adalah untuk mendapatkan keputusan positif menentang pasukan itu nanti.

"Kita tahu corak permainan mereka tidak berubah di bawah kendalian Park Hang-seo. Mereka mempunyai pertahanan yang bagus dan kami perlu cari penyelesaian untuk menembusi benteng mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UAE tewaskan Harimau Malaya 4-0