X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Pemain Harimau Malaya perlu terbuka terima kritikan

A
A

PEMAIN Harimau Malaya perlu menerima dengan hati terbuka setiap kritikan dilontarkan penyokong selepas aksi kurang memuaskan ketika tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jumaat lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan berkata, setiap pemain pasukan kebangsaan perlu mengambil setiap kritikan itu sebagai cabaran untuk tampil lebih bagus pada baki perlawanan menentang Vietnam dan Thailand.

“Sebagai pemain bola sepak kita kena terima maki hamun ini sebagai perkara biasa. Tetapi, kalau menang pula pujian itu akan melambung-lambung. Itu normal dalam bola sepak.

“Namun, saya percaya peminat ini sentiasa berada di belakang pasukan. Sebenarnya peminat bukan marah, mereka hanya sayangkan Harimau Malaya,” katanya.

Kemarahan peminat bola sepak negara bagaikan sukar dibendung selepas persembahan memalukan Harimau Malaya pada perlawanan menentang UAE itu walaupun dibarisi ramai pemain kacukan selain kehadiran dua pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Mengulas lanjut, bekas pemain Kuala Lumpur dan Selangor itu turut melihat Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menghadirkan keputusan positif menentang Vietnam dan Thailand.

“Pada perlawanan menentang Vietnam dan Thailand, pemain naturalisasi seperti Liridon dan de Paula kena tunjukkan kemampuan mereka sebab kedua-dua negara itu sudah sama level iaitu pasukan Asia Tenggara jika nak dibandingkan dengan UAE.

“Namun, harus di ingat Vietnam bukan mudah dan kita harapkan keajaiban dapat berlaku. Saya rasa semua pemain pun sudah tak sabar untuk berjuang habis-habisan. Inilah peluang terbaik untuk Malaysia mara ke peringkat seterusnya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!