Peluang terbaik G11 tambah baik PSM

Gambar kecil: Mohd Yussof
Gambar kecil: Mohd Yussof
A
A
A

KUMPULAN 11 (G11) digesa mempertimbangkan semula hasrat menubuhkan sebuah entiti baharu menggantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), selepas Datuk Seri Ahmad Ismail meletakkan jawatan sebagai presiden badan induk sepak takraw negara itu tengah malam Ahad lalu.

Malah menurut Tan Sri Mohd Yussof Latiff antara watak penting pengasas sepak takraw negara, menyarankan 11 bekas ahli gabungan PSM menggunakan peluang terbaik itu melakukan penambahbaikan terhadap persatuan sukan tertua negara tersebut.

"Secara jujur G11 ini telah pun memenangi peperangan terhadap PSM dalam usaha mentransformasikan sukan sepak takraw negara, cumanya sekarang ini mereka berundur yang mana antara strategi perjuangan.

"Ini adalah masa terbaik G11 kembali semula seterusnya melakukan penambahbaikan terhadap perlembagaan, tadbir urus dan kepimpinan PSM.

"Dan jika kita lihat, G11 ini sudah pun mempunyai visi dan misi sejak awal adalah untuk mengembalikan semula era kegemilangan takraw negara apabila menghantar cadangan penubuhan entiti sepak takraw baharu kepada Pesuruhjaya Sukan sebelum ini.

"Ia juga menampakkan hasil apabila Tok Mat akhir secara gentleman memohon maaf sebelum melakukan pengorbanan meletakkan jawatan sebagai presiden demi menyelamatkan PSM pada masa depan

"Insya-ALLAH, PSM tidak berpecah dua selepas ini, sebaliknya akan terus maju mengharumkan kembali nama negara dalam sukan sepak takraw," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Kumpulan 11 atau kini lebih dikenali dengan gelaran G11 sebelum ini menegaskan mereka tetap dengan keputusan untuk menubuhkan entiti baharu biarpun Ahmad telah mengumumkan peletakan jawatannya selaku presiden PSM.

Jelas Mohd Yussof yang juga bekas Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pertama, ini merupakan masa terbaik untuk mentransformasikan semula baik dari segi kepimpinan, perlembagaan dan urus tadbir PSM yang menjadi pertikaian selama ini.

Artikel Berkaitan:

Namun jelas Mohd Yussof, G11 tidak boleh riak dan mendabik dada terus menekan PSM setelah memenangi peperangan ini, sebaliknya perlu mengambil sikap lebih bertanggungjawab, berdiplomasi dan berhemah 'mengajak' badan induk sepak takraw negara itu ke meja rundingan.

"Saya mewakili dalam kalangan ahli pengasas sukan sepak takraw negara yang masih hidup, saya dengan rendah diri merayu kepada semua pihak terlibat terutamanya bekas ahli gabungan untuk duduk semeja berbincang mencari penyelesaian terbaik.

"Kami dulu bermula dengan hanya lima ahli gabungan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Singapura menubuhkan persatuan tertua negara ini pada 1960 hanya dengan RM38 di dalam bank ketika itu.

"PSM merupakan rumah pusaka kita, jadi puliharakanlah. Jangan biarkan rumah pusaka kita dirobohkan kemudiannya dibakar hanya kerana perasaan amarah dan dipengaruhi pihak lain.

"Seandainya PSM berkubur, tiada apa lagi sejarah yang boleh diwarisi anak dan cucu kita pada masa depan sebagai pencetus semangat untuk mereka memajukan lagi sukan tradisi ini," katanya.

Pada masa sama, Mohd Yussof percaya Pesuruhjaya Sukan (PJS) sewajarnya mengambil pendekatan lebih proaktif sebelum ini dalam membantu menyelesaikan kemelut berkenaan supaya tidak menjejaskan program pembangunan sepak takraw pada masa depan.

"Kita difahamkan Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dengan salinan kepada Majlis Olimpik Antarabangsa atas kapasiti Timbalan Presiden Persekutuan ASTAF pada masa itu.

"Jadi mengapa ASTAF mengambil tindakan terhadap PSM? PSM menghantar surat permohonan penjelasan pertuduhan terhadap persatuan beberapa kali, namun tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.

"PJS pada ketika itu saya percaya pun boleh melakukan permohonan penjelasan sama sebagai sebuah badan yang mengawal selia pertubuhan sukan negara ini," katanya lagi.