Azizulhasni, Shah Firdaus masuk gear akhir di Nilai

Azizulhasni, Shah Firdaus selamat tiba di Malaysia dari Australia pada Ahad sebagai persiapan mengharungi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada bulan depan.
Azizulhasni, Shah Firdaus selamat tiba di Malaysia dari Australia pada Ahad sebagai persiapan mengharungi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada bulan depan.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan meneruskan latihan di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan menjelang Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Abu Samah Wahab berkata, Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang baru tiba di Malaysia dari Melbourne, Australia pagi tadi, akan membuat persiapan akhir di Nilai sebelum membawa cabaran negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Abu Samah berkata, difahamkan kedua-dua pelumba itu ketika ini sedang menjalani proses kuarantin di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di sini, sebelum meneruskan sesi latihan di Nilai.

“Saya percaya proses kuarantin di Kampung Pandan dapat membantu kedua-dua mereka meneruskan sesi latihan ringan di gimnasium berbanding kuarantin di hotel yang mungkin menyebabkan mereka tidak berpeluang berlatih.

Selain itu, tiada kejohanan akan disertai kedua-dua pelumba ini sebaliknya mereka hanya fokus kepada sesi latihan di Nilai sebelum berlepas ke Tokyo bulan depan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mengenai suntikan vaksin bagi kedua-dua pelumba itu, beliau dimaklumkan Azizulhasni telah menerima suntikan dos pertama di Australia baru-baru ini manakala Muhammad Shah Firdaus masih belum disuntik sehingga kini.

Katanya, Institut Sukan Negara (ISN) sedang mengatur tarikh suntikan kedua Azizulhasni dan dua proses suntikan buat Muhammad Shah Firdaus di sini.

Beliau berkata, kedua-dua pelumba khususnya Azizulhasni, yang merupakan sandaran utama meraih emas negara pada temasya sukan di Tokyo, dilihat bebas daripada sebarang kecederaan dan berada pada prestasi terbaik untuk melakar kejayaan gemilang di negara matahari terbit itu.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus merupakan pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne, di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Australia, John Beasley.

Azizulhasni yang diberi julukan "The Pocket Rocketman", dijadual turun beraksi dalam acara kegemarannya keirin dan pecut individu manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut di Tokyo nanti.

Untuk rekod, Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.