Upacara pengebumian punca kluster baharu dalam komuniti

Daripada 78 individu disaring, 50 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks dan tujuh kes lagi masih menunggu keputusan makmal
Daripada 78 individu disaring, 50 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks dan tujuh kes lagi masih menunggu keputusan makmal
A
A
A

KUCHING - Satu lagi kluster baharu dikesan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Ulu Sebakong di Mukah, melibatkan sebuah rumah panjang di Ulu Sebakong dengan 50 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan, kluster komuniti itu berpunca daripada aktiviti pengebumian pada 19 hingga 21 Mei lepas yang dihadiri oleh penduduk dari rumah panjang terbabit.

“Daripada 78 individu disaring, 50 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks, 21 kes negatif dan tujuh kes lagi masih menunggu keputusan makmal,” menurut JPBN.

Sementara itu, JPBN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Sarawak susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Ia melibatkan Rumah Panjang (Rh.) Tuntun Seduku, Lingga, Sri Aman bermula semalam (Sabtu) hingga 18 Jun depan, sementara PKPD di Rh. Demai, Sungai Lelabi, Bintangor, Meradong dan Rh. Didong, Jalan Bayong, Sarikei pula bermula hari ini hingga 22 Jun.

Sarawak hari ini mencatatkan 600 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 321 kes daripadanya dikesan di Daerah Kuching, Sibu dan Bintulu.

Selain itu empat kes kematian baharu akibat wabak itu turut dilaporkan pada Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan: