Bung Moktar menang tanpa bertanding Presiden SAFA

Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A
A

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) pada kongres luar biasa persatuan itu yang diadakan secara dalam talian pada Ahad.

Beliau yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan sejak 14 Disember tahun lalu, dicalonkan oleh semua ahli gabungan membabitkan persatuan bola sepak daerah di seluruh negeri itu.

Ketika berucap pada kongres itu, Bung Moktar mengucapkan terima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan semua ahli Majlis Tertinggi dan ahli gabungan SAFA untuk beliau memimpin persatuan sukan berkenaan.

“Dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha bagi memastikan SAFA terus maju mencapai sasaran bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, jawatan Presiden SAFA disandang ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, namun beliau meletak jawatan pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata semua pihak perlu mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi bagi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Sabah.

Beliau mengakui SAFA bakal berdepan pelbagai cabaran dan kesulitan berikutan penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini, namun percaya melalui sokongan pelbagai pihak mereka boleh mencapai kejayaan sekali gus memajukan bola sepak Sabah.

“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Mudah-mudahan selepas pandemik Covid-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak negeri Sabah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik) Datuk Suhaimi Nasir dan Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA) Datuk Dr Jelani Hamdan turut menang tanpa bertanding, masing-masing jawatan Naib Presiden SAFA.