‘Outreach’ dari rumah ke rumah percepat proses vaksinasi

Dr Zaini (kiri), Dr Selasawati dan Dr Mohd Zurairie melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hibrid - Tanjung Chat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan pada Ahad.
Dr Zaini (kiri), Dr Selasawati dan Dr Mohd Zurairie melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hibrid - Tanjung Chat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merancang pelaksanaan program ‘outreach’ dari rumah ke rumah bagi mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ‘outreach’ pada tahap ini dilaksanakan di kawasan pedalaman membabitkan beberapa daerah termasuk Kuala Krai.

Menurutnya, program tersebut akan diperluaskan ke 10 daerah di Kelantan untuk semua golongan.

“Sekiranya ada keperluan, kita akan melakukan dari rumah ke rumah tetapi setakat ini belum lagi. Sebahagiannya dalam perancangan.

“Outreach dilakukan dengan kerjasama ketua jajahan dan agensi yang terlibat untuk mempercepatkan serta memperluaskan pemberian vaksin kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hibrid - Tanjung Chat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dr Zaini berkata, sehingga hari ini (Ahad), sejumlah 144,000 penduduk Kelantan menerima dos pertama vaksin Covid-19 manakala lebih 55,000 melengkapi vaksin dos kedua.

“Kami cuba mempercepatkan vaksinasi dengan perancangan membuka lebih banyak lokasi 'outreach' terutama di kawasan kampung bergantung kepada bekalan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Ada lagi vaksin yang akan sampai minggu depan. Bekalan sentiasa ada dan diterima secara berkala,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya belum bercadang untuk melaksanakan pemberian vaksin secara pandu lalu kerana mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan stesen untuk pemerhatian penerima vaksin.