Penunggang motosikal mabuk langgar kawat duri rupanya...

Video yang tular dipercayai dirakam penduduk itu antara lain memaparkan terdapat sebuah motosikal tersangkut di kawat duri ketika cuba melarikan diri dari kawasan PKPD.
Video yang tular dipercayai dirakam penduduk itu antara lain memaparkan terdapat sebuah motosikal tersangkut di kawat duri ketika cuba melarikan diri dari kawasan PKPD.
A
A
A

IPOH - Motosikal yang tersangkut di celah kawat duri didirikan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2 sepertimana video tular disahkan tiada kaitan dengan cubaan menyelinap keluar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi pada Ahad itu berpunca daripada seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun itu mahu ke rumah rakannya dan ketika melalui jalan itu secara tidak sengaja telah melanggar kawat duri yang dipasang pihak berkuasa.

"Mangsa ada mengaku menunggang motosikal itu seorang diri dalam keadaan mabuk dan dia juga tidak tahu bahawa kawasan tersebut telah diisytiharkan sebagai PKPD.

"Sebaik pelanggaran itu, dia meninggalkan motosikalnya di situ dan berjalan kaki untuk pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan kejadian itu sebaik menerima video berdurasi 19 saat yang tular di media sosial sejak pagi Ahad kerana ia melibatkan kerosakan atas harta kerajaan.

Katanya, siasatan kemudiannya mendapati, mangsa mengalami luka-luka di kaki dan tangan akibat kejadian itu dan dalam keadaan terbaring di rumahnya.

"Lelaki itu tidak tinggal dalam kawasan PKPD dan motosikal berkenaan telah dihantar oleh rakannya ke rumah.

Artikel Berkaitan:

"Dia telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital sementara siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Video yang tular dipercayai dirakam penduduk itu antara lain memaparkan terdapat sebuah motosikal tersangkut di kawat duri dan didakwa sengaja ditinggalkan di situ kerana gagal dalam cubaan keluar dari kawasan PKPD.

PKPD dikuatkuasakan di kampung berkenaan selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti.