Jual surat panggilan saksi palsu untuk rentas negeri

Surat panggilan saksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipalsukan untuk dijual dalam laman sosial Wechat bagi tujuan rentas negeri ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Gambar kecil: Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
Surat panggilan saksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipalsukan untuk dijual dalam laman sosial Wechat bagi tujuan rentas negeri ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Gambar kecil: Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai memalsukan surat panggilan saksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dijual dalam laman sosial WeChat bagi tujuan rentas negeri ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati surat panggilan palsu pegawai penyiasat terbabit dijual pada harga RM100 hingga RM200 sekeping.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan lelaki berusia 23 tahun itu kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Kampung Lapan, Melaka.

"Tangkapan itu dilakukan polis atas maklumat berkaitan satu iklan yang dimuat naik di WeChat yang menawarkan penjualan surat panggilan saksi untuk menghadirkan diri ke IPD Kuala Muda.

"Susulan itu, kita turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan lelaki itu untuk berkomunikasi dengan pelanggan melalui WeChat berkaitan dengan penjualan surat panggilan saksi yang dipalsukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Adzli berkata, pada asalnya surat panggilan saksi itu dikeluarkan oleh pegawai penyiasat atas satu penama beralamat di Ipoh, Perak untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, suspek kemudiannya memalsukan surat tersebut untuk dijual kepada orang ramai yang memerlukannya bagi kegunaan merentas negeri," katanya.

Beliau berkata, kegiatan sindiket ini terbongkar susulan penangkapan suspek dan usaha-usaha untuk menjejaki rakan-rakannya sedang giat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 19 rekod jenayah membabitkan kes penipuan menawarkan pinjaman wang melalui dalam talian yang tidak wujud di sekitar Lembah Klang dan pernah ditahan serta dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuala Muda membuka siasatan melibatkan kes penipuan menawarkan urusan jual beli surat panggilan saksi dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya kepada mana-mana individu yang mempromosikan surat atau dokumen yang dikeluarkan polis untuk tujuan merentas negeri.