ADUN Dengkil sumbang elaun tiga bulan ke Akaun Amanah Bencana

Adhif Syan Abdullah
Adhif Syan Abdullah
A
A
A

SEPANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah mengumumkan hasrat mahu menyumbang sepenuhnya elaun selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula Jun ini.

Adhif Syan berkata, langkah tersebut diambilnya atas kerelaannya sendiri tanpa arahan mana-mana pihak.

“Langkah tersebut diambil atas kehendak saya sendiri selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan usaha memerangi Covid-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, beliau berharap agar ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) dari kerajaan Selangor serta negeri- negeri lain turut mengambil langkah yang sama sebagai tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan pandemik Covid-19.

“Saya sarankan ADUN-ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka ke arah yang sama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Potongan cukai untuk penyumbang Akaun Amanah Bencana

Covid-19: Ahli Parlimen PNBBC setuju sumbang 30 peratus elaun

Beliau berkata, usaha memerangi Covid-19 sepatutnya dilakukan semua pihak kerana pandemik tersebut melibatkan rakyat seluruh negara ini.

“Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Sebelum ini, ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan turut bersetuju memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi membantu masyarakat di kawasannya yang terkesan akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama.

Artikel Berkaitan:

Langkah tersebut turut dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) yang bersetuju menyumbang 30 peratus gaji bulanan untuk tempoh tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara.