PKPD Manjoi: Laluan tikus banyak sangat

Pemasangan kawat duri di jalan utama dan laluan tikus di kawasan PKPD Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.
Pemasangan kawat duri di jalan utama dan laluan tikus di kawasan PKPD Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.
A
A
A

IPOH - Sekatan di laluan-laluan tikus di tiga lokaliti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dipertingkatkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesan terlalu banyak laluan tikus yang boleh digunakan penduduk di tiga kawasan berkenaan iaitu di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.

Menurutnya, tiga kawasan yang saling bersempadanan itu mempunyai keluasan merangkumi 4,000 kediaman dan didiami hampir 16,000 penduduk.

"PKPD kali ini melibatkan kawasan yang luas dan kita akui, banyak laluan tikus yang boleh digunakan untuk pergerakan keluar masuk penduduk sama ada berjalan kaki ataupun dengan kenderaan ringan.

"Ketika ini kita sedang dalam tindakan untuk mengenal pasti laluan terlibat dan dari masa ke masa, penutupan laluan akan dibuat sama ada menggunakan kawat duri, tali kuning polis atau sebagainya," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian PKPD di sini pada Ahad.

PKPD di tiga lokaliti berkenaan berkuat kuasa selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk keluar dari lokaliti.

A Asmadi (dua dari kiri) ketika meninjau hari pertama pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti dalam DUN Manjoi pada Ahad.
A Asmadi (dua dari kiri) ketika meninjau hari pertama pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti dalam DUN Manjoi pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, A Asmadi memberi amaran kepada penduduk terlibat agar tidak sesekali merosakkan halangan yang didirikan polis seperti memotong kawat duri dan tali kuning untuk menyelinap keluar dari kawasan PKPD.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan itu bukan sahaja akan dikenakan kompaun, malah boleh dihukum di bawah seksyen kanun keseksaan kerana merosakkan harta kerajaan serta tidak mematuhi arahan sah daripada pihak berkuasa iaitu polis dan KKM.

"Dalam hal ini, kita minta penduduk sama-sama membantu, maklum sekiranya ada kejiranan yang cuba-cuba untuk keluar atau lakukan aktiviti tidak dibenarkan.

"Hari ini pun kita dah dapat maklumat ada beberapa cubaan penduduk untuk keluar dan sebagainya, jadi kita ingatkan jangan pertikaikan PKPD dan polis juga tidak akan sesekali membenarkan sebarang pergerakan dilakukan tanpa kebenaran yang sah," katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada penduduk terlibat agar mendapatkan kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai kebenaran itu tidak akan dibenarkan memasuki atau menghampiri kawasan PKPD.

"Apabila kita dalam satu-satu operasi PKPD, sebarang kelulusan perlulah melalui PKOB yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

"Tidak boleh sewenangnya datang terus ke pintu (masuk) dan minta kebenaran anggota polis untuk masuk ke dalam kawasan bagi menyampaikan bantuan.

"Ini kita tidak akan benarkan kecuali telah memperolehi surat kebenaran daripada PKOB dan PKBO telah maklumkan kepada anggota bertugas, baharulah dibenarkan," katanya.