Notis 28 hari sebelum sidang Parlimen perlu dipendekkan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Notis 28 hari sebelum sidang Parlimen perlu dipendekkan kepada 14 hari mengambil kira faktor keperluan sidang berkenaan susulan penularan Covid-19.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembukaan sidang Parlimen secara hibrid melalui dua kaedah iaitu bersemuka dan maya seperti yang dicadangkan sebelum ini perlu dilalukan segera.

"Memang saya rindu sangat dengan Parlimen. Bukan hendak bergaduh tetapi sebagai ahli Parlimen, kami mahu bertukar-tukar hujah, fikiran dan pandangan dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial ketika negara berdepan Covid-19 ketika ini.

"Akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dengar juga pandangan ahli Parlimen. Sebenarnya ini juga suara rakyat yang mahu persidangan diadakan segera," katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Pontian di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, Takiyuddin dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, langkah terbabit diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan Covid-19 dan program pemulihan yang sedang dilaksanakan di semua peringkat.

Sebelum itu pada Mac lalu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.

Menurutnya, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan Parlimen dengan sewenang-wenangnya sebaliknya memerlukan notis daripada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan: