AW139 di Langkawi pantau pencerobohan pelarian Rohingya

Maritim menempatkan satu aset udara helikopter AW139 di Langkawi, Kedah sebagai langkah siap siaga mengekang kemasukan pelarian Rohingya ke dalam negara. - Foto Maritim
Maritim menempatkan satu aset udara helikopter AW139 di Langkawi, Kedah sebagai langkah siap siaga mengekang kemasukan pelarian Rohingya ke dalam negara. - Foto Maritim
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Malaysia (Maritim) menempatkan satu aset udara helikopter AW139 di Langkawi, Kedah sebagai langkah siap siaga mengekang kemasukan pelarian Rohingya ke dalam negara.

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, helikopter ini bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi melakukan tugas rondaan pada malam dan pengesanan pergerakan mencurigakan.

"Helikopter AW139 bersedia untuk digerakkan menerusi rondaan-rondaan selain ke lokasi yang dikenal pasti selepas menerima maklumat menerusi radar.

"Setakat ini, maklumat risikan Maritim masih belum menemui petunjuk terdapat cubaan kemasukan pelarian Rohingya. Malah, tiada juga dikesan ejen tempatan yang cuba mengatur kemasukan itu.

"Namun, kita tidak tolak kemungkinan kemasukan etnik terbabit dari Aceh, Indonesia akan berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Zubil berkata, Maritim akan pertingkatkan rondaan di sempadan negara khususnya sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengawal kemasukan terbabit.

Katanya, Maritim juga sedang giat meneliti maklumat berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas sekiranya ada warga tempatan terbabit dalam kegiatan itu.

"Kami juga ingin memberi amaran agar tiada masyarakat yang bersekongkol terlibat secara langsung mahu pun tidak dalam usaha membawa masuk pelarian Rohingya ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Maritim mengalukan semua komuniti untuk menyalurkan setiap maklumat kepada kita atau National Task Force (NTF) untuk mengekang sebarang kemasukan atau pencerobohan," ujarnya.

Pada Sabtu, NTF dalam satu kenyataan dilaporkan memperketat kawalan sempadan negara menerusi Ops Benteng susulan laporan media Indonesia berhubung kehadiran 81 orang pelarian Rohingya yang dikesan di pesisiran pantai di Acheh Timur, Indonesia pada Jumaat.

Selain kesiagaan dan mengatur gerak aset-aset Maritim berdekatan perairan antarabangsa, pemantauan radar dan aset udara juga akan dilakukan bagi mengesan sebarang pergerakan bot-bot mencurigakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan NTF tepat demi keselamatan perairan negara