PKP: 11 ditahan main judi dalam rumah

A Asmadi (kanan) menunjukkan hasil rampasan dua serbuan judi poker di dua rumah di Menglembu pada Sabtu.
A Asmadi (kanan) menunjukkan hasil rampasan dua serbuan judi poker di dua rumah di Menglembu pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Jalan mudah mencari pendapatan sampingan selain bosan duduk di rumah ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh antara alasan diberikan sekumpulan individu yang ditahan ketika bermain judi di rumah.

Kegiatan 11 lelaki termasuk seorang wanita berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun itu terbongkar hasil dua serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di dua rumah berasingan di Halaman Menglembu Bestari, Menglembu antara jam 5.45 petang hingga 6.15 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek sedang leka bermain judi jenis poker dengan tidak menghiraukan keselamatan dan bahaya jangkitan Covid-19.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua suspek datang dari kawasan taman-taman berhampiran dan telah berkumpul dalam dua rumah berkenaan hanya untuk bermain judi.

"Atas kesalahan itu, polis telah mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas setiap individu dan RM25,000 kepada pemilik kediaman di bawah Seksyen 21A (1) Ordinan Darurat kerana berkumpul dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kesemua suspek yang antaranya bekerja sebagai ejen hartanah, juruteknik, pemandu dan kelindan lori serta penghantar makanan turut ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama IPD Ipoh di sini pada Ahad.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan ketika duduk mengelilingi sebuah meja di ruang tamu rumah sedang bermain judi poker menggunakan cip, daun terup dan duit pertaruhan.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah wang tunai disyaki digunakan sebagai taruhan bernilai RM1,745, 439 cip pelbagai nilai, 52 keping daun terup, meja poker, set peralatan permainan poker serta beberapa helai kertas iklan perjudian terup.

Artikel Berkaitan:

"Daripada siasatan kita, rumah ini telah disewa salah seorang suspek sejak lebih dua bulan lalu dan turut mengiklankan kegiatan judi di platform media sosial, sebagai jalan mudah menggandakan pendapatan," katanya.

A Asmadi berkata, serbuan di rumah kedua pula, polis berjaya mengesan enam lelaki bermain perjudian daun terup dan berjaya merampas wang tunai RM769, 52 keping daun terup dan beberapa peralatan digunakan untuk bermain.

Menurutnya, semakan lanjut menunjukkan kesemua enam lelaki terbabit termasuk pemilik kediaman berusia 25 tahun mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Dalam tempoh sekatan pergerakan ini, fokus kita untuk memastikan orang ramai duduk di rumah, tetapi dalam keadaan itu masih menjadi cabaran kepada polis untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti ini.

"Jadi kita mohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat agar dapat bersama-sama membanteras gejala yang menyebabkan penularan wabak Covid-19 dan menumpaskan aktiviti tidak sihat seperti judi ini," katanya.