Tiada kematian di UK bukti vaksin berkesan

Adham (tengah), Aman (dua dari kanan) dan Vidyananthan (kanan) meninjau persiapan dan melakukan lawatan ke PPV Mega Persada, Johor Bahru pada Ahad.
Adham (tengah), Aman (dua dari kanan) dan Vidyananthan (kanan) meninjau persiapan dan melakukan lawatan ke PPV Mega Persada, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada kematian yang direkodkan akibat Covid-19 melalui program vaksinasi berskala besar di United Kingdom (UK) sejak beberapa hari lalu membuktikan keberkesanan pelaksanaan program itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kejayaan program tersebut menjadi contoh dan memberi semangat untuk negara ini turut melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran.

"Saya dapati data yang kita peroleh dari UK menunjukkan program vaksinasi berjaya mencatat 'zero death'. Ini memberi kita semangat untuk kita melaksanakan program vaksin berskala besar.

"Disebabkan itu penting untuk kita tingkatkan imuniti dan perlindungan kepada seramai mungkin individu supaya situasi Covid-19 di negara ini tidak sampai ke tahap lebih serius," katanya ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Ahad.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan UK tidak merekodkan sebarang kematian akibat Covid-19 sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran di negara berkenaan.

Tambah Dr Adham, adalah penting rakyat mendaftar melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, menerusi PICK fasa pertama, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan manakala dalam fasa kedua pula dijangka seramai 9.3 juta individu akan disuntik.

Artikel Berkaitan:

Program berkenaan katanya, akan diteruskan dalam fasa ketiga yang dianggarkan seramai lebih 13 juta individu akan disuntik.

"Oleh itu kerajaan telah mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak kemudahan PPV di seluruh negara termasuk PPV Mega, PPV Bergerak, PPV Klinik Kesihatan dan PPV Hospital Awam," katanya.