X

Kindly register in order to view this article
!

'Kalau perlu, ambilah...'

Azra membantu golongan memerlukan dengan mengaktifkan 'food bank' di hadapan rumahnya di Balok Permai sejak dua hari lalu.
A
A

KUANTAN - Pernah berhadapan dengan kesempitan hidup menjadikan seorang suri rumah terpanggil untuk mengaktifkan 'food bank' di hadapan rumahnya di Balok Permai bagi memastikan tiada individu tidur dalam kelaparan.

Azra Abdullah, 36, berkata, ruang kecil di hadapan rumahnya digunakan untuk meletakkan barangan keperluan dan makanan harian sejak dua hari lalu supaya mudah diambil oleh mereka yang memerlukan.

Menurutnya, inisiatif meletakkan barangan seperti, beras, telur, tepung, bawang, sardin, biskut, mi, bihun dan beberapa keperluan lain itu dapat mengurangkan beban mereka yang terkesan susulan Sekatan Pergerakan Penuh yang akan bermula sejak 1 Jun lalu.

"Saya pernah hidup susah dan saya tahu bagaimana jika tiada makanan. Setengah orang mungkin ada duit tetapi terpaksa digunakan untuk perkara lain dan perlu berkira membeli makanan," katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Balok Permai pada Ahad.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, dia tidak mengagihkan makanan berkenaan kerana keadaan tidak sesuai akibat negara yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

Jelasnya, pada mulanya, kesemua barangan itu dibeli menggunakan wangnya dan sumbangan daripada dua anaknya.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka ada individu lain yang sudi berkongsi dengan menyalurkan sumbangan selepas dua hari kerja amal itu dilakukan.

"Saya tidak menyangka ada yang menyumbang malah beberapa rakan di Qatar juga ada memasukkan wang ke dalam akaun bagi membolehkan saya membeli lebih banyak barang keperluan.

"Kebiasaan barangan yang saya letakkan di sini setiap hari akan habis dan itu sudah cukup menggembirakan hati saya," katanya yang memulakan kerja amal itu dua hari lalu.

Sebelum itu, Azra berkata, sepanjang menetap di Qatar, banyak 'food bank' telah diwujudkan oleh masyarakat di negara itu bukan sahaja di masjid, tetapi di kawasan taman perumahan.

Azra berpendapat kaedah itu boleh dilaksanakan di negara ini sekali gus memberi peluang untuk melakukan amal jariah ketika rakyat berdepan PKPD di Pahang.

"Saya sudah lama menetap di Qatar, budaya 'food bank' ini telah dilakukan secara meluas, jadi saya ambil peluang untuk melaksanakannya di sini.

"Walaupun sumbangan dihulurkan ini tidak seberapa, namun ia dapat meringankan beban mereka memerlukan," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!