Tiga lelaki kantoi ceroboh hutan ketika PKP 3.0

Sebuah jengkaut turut disita bersama tiga invidu yang ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Bubu di daerah Manjung oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Perak pada Jumaat.
Sebuah jengkaut turut disita bersama tiga invidu yang ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Bubu di daerah Manjung oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki yang sedang leka menebang pokok hutan ditahan bersama dua lagi individu oleh pasukan Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Perak selepas dikesan menceroboh Hutan Simpan Bubu di daerah Manjung pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Pejabat Renjer Hutan Beruas pada jam 5.30 petang selepas mengesan satu aktiviti penerokaan hutan di sebahagian Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemui sebuah jengkaut (backhoe), sebuah motosikal, satu unit gergaji berantai dan sebilah parang bagi tujuan menjalankan aktiviti penerokaan hutan.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia di antara 27 hingga 55 tahun ditangkap itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Kesemua barang-barang yang ditemui disita dan dibawa ke stor rampasan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sepasukan anggota menyita beberapa barangan yang digunakan sebuah kilang berasaskan kayu di Sungai Siput (U) selepas beroperasi tanpa kebenaran pada Jumaat.
Sepasukan anggota menyita beberapa barangan yang digunakan sebuah kilang berasaskan kayu di Sungai Siput (U) selepas beroperasi tanpa kebenaran pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 81(1)(b) dan 81(1)(e) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohamed Zin berkata, pada hari yang sama juga, sepasukan penguat kuasa Daerah Hutan Kuala Kangsar dan penguat kuasa Ipoh, Jabatan Perhutanan Perak telah menyerbu sebuah kilang berasaskan kayu di Jalan Lintang, Sungai Siput (U) yang beroperasi tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil semakan mendapati lesen kilang tersebut tidak diperbaharui sejak 30 Jun 2020 dan tiada permohonan baharu dikemukakan selepas itu.

Katanya, sehubungan itu, empat individu berusia di antara 30 hingga 65 tahun termasuk dua warga tempatan dipercayai pemilik kilang bersama dua pekerja warga asing ditahan di kilang berkenaan ketika serbuan dibuat.

"Pasukan penguat kuasa turut menyita empat unit pengisar kayu, empat mesin silo, satu mesin belah kayu, satu mesin drum chipper dan lima longgokan kayu yang dipotong pendek.

"Keempat-empat suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Siput (U) untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka boleh didakwa atas kesalahan menjalankan aktiviti kilang tanpa mendapatkan lesen yang sah di bawah Enakmen Berasaskan Kayu (EIBK).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Zin mengingatkan orang ramai bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.