APEC perlu permudah akses mampu milik vaksin Covid-19

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu melakukan yang terbaik untuk memudahkan akses yang mampu milik dan saksama kepada vaksin Covid-19, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam menekankan kepentingan untuk APEC melindungi daripada nasionalisme vaksin dan penyimpanan vaksin, Azmin mengulangi gesaan oleh pemimpin APEC pada tahun lepas untuk menjadikan vaksin Covid-19 sebagai barangan awam global.

“Oleh itu, Malaysia menantikan permulaan rundingan berasaskan teks mengenai pengecualian sementara untuk peruntukan tertentu dalam Perjanjian mengenai Aspek Hak Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berikutan ini akan meningkatkan kemampuan dan kebolehcapaian kepada vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan APEC Ke-27 secara maya yang diadakan pada 5 Jun, dan dihadiri oleh delegasi Malaysia yang diketuai oleh Azmin.

Menteri turut menekankan keperluan APEC untuk mengoptimumkan semua alat dasar dan bertindak sebagai kumpulan dalam memastikan perdagangan terus berjalan tanpa gangguan dalam tempoh sukar ini.

Mengakui kepentingan inovasi dan pendigitalan, Azmin menggesa para pegawai untuk mempercepatkan penggunaan pendigitalan, dengan mengambil kira cabaran mendesak yang dihadapi oleh APEC semasa pandemik.

Sehubungan itu, beliau amat menggalakkan ekonomi APEC untuk berkongsi data yang berkaitan dan maklumat berhubung Covid-19 melalui Pertukaran Terkini dan Segera Secara Maya mengenai Covid-19 APEC, platform perkongsian maklumat digital yang dilancarkan pada tahun lepas.

Mengenai keutamaan Malaysia untuk mencapai hasil yang kukuh daripada Persidangan Menteri-Menteri WTO Ke-12, Azmin berkata, penting untuk organisasi itu mengembalikan fungsi badan rayuan sepenuhnya bagi melindungi keupayaan untuk menjangka dan kestabilan sistem perdagangan pelbagai hala.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan kepentingan untuk memuktamadkan rundingan mengenai subsidi perikanan, yang akan memberi isyarat jelas bahawa WTO boleh memberikan hasil pelbagai hala.

Di Malaysia, Azmin berkata, subsidi adalah untuk golongan sasaran dengan matlamat utama bagi meningkatkan kehidupan ribuan nelayan yang berpendapatan rendah, yang bergantung kepada penangkapan ikan secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, layanan istimewa dan berbeza perlu kekal sebagai aspek penting dalam rundingan,” katanya. - Bernama